Sabtu, 10 Januari 2015

Banjir : Ramai Sukarelawan Mula Demam

RAKYATNEWS


alt



SEREMBAN  - Ramai sukarelawan dan Pemuda Umno yang berada di lokasi banjir seluruh negara sudah mula demam berikutan keadaan cuaca dan faktor pemakanan tidak menentu, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ketua Pemuda Umno itu menasihatkan sukarelawan yang terlibat dengan kerja pasca banjir mengambil langkah berjaga-jaga mengelakkan dari terkena penyakit.

“Nasihat saya kepada semua sukarelawan, walaupun kita diperlukan turun padang membantu kerja pembersihan, tetapi perlu juga berwaspada daripada segi penyakit. Ambil langkah berjaga-jaga.

"Kita tidak mahu sukarelawan yang pergi ke sana untuk membantu tetapi disebabkan tidak sihat, kerja tidak dapat dibuat dan orang di sana pula yang kena tolong dia,” katanya di Seremban seperti dilaporkan Sinar Harian.

Akhbar itu melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih 300 sukarelawan termasuk kakitangan kerajaan negeri, Umno dan anggota Rejimen 508 Askar Wataniah terlibat dalam operasi membantu mangsa banjir.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, keadaan lokasi banjir di Kelantan khususnya, masih tidak menentu daripada aspek kesihatan dan kebersihan.

Katanya, kerja-kerja pembersihan banyak yang terbantut kerana masih banyak tempat tiada bekalan air dan elektrik.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan dilaporkan Bernama menempatkan 11 khemah sementara di negeri itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan desa yang terjejas banjir dapat diteruskan.

Sambil menggalakkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu mangsa banjir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, mereka dianjurkan mendaftar sebagai sukarelawan dengan kementerian.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan banjir mencuci tangan menggunakan 'sanitizer' memandangkan bekalan air bersih terhad pada masa ini.

Tiada ulasan: