Sebahagian ekor pesawat QZ8501 yang berjaya dinaikkan. - Foto AFP Sebahagian ekor pesawat QZ8501 yang berjaya dinaikkan. - Foto AFP
 
 
JAKARTA - INDONESIA. Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) berjaya membawa naik ke permukaan air bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 setelah ia dikesan terbenam di dasar laut berhampiran Pangkalan Bun di Kalimatan Tengah.

Bahagian pesawat itu kini berada atas kapal pengangkut Crest Onyx yang sedang menuju ke Pangkalan Bun untuk tindakan seterusnya mencari kotak hitam pesawat.

Kerja-kerja membawa naik bahagian ekor pesawat itu mengambil masa lebih 7 jam dan ia menggunakan kaedah diapungkan dengan enam belon pelampung (floating beg).

Stesyen MetroTV menyiarkan secara langsung berita mengenai perkembangan membawa naik bahagian ekor bangkai pesawat itu pada pukul 3.40 petang tadi bagaimanapun keadaannya didapati dalam keadaan yang tidak baik.

Bahagian ekor pesawat itu dikesan tiga hari lepas dan ia didapati dalam keadaan terbalik dan terbenam dalam dasar laut yang berselut.

Laporan itu juga menyebut pihak berkuasa masih tidak pasti sama ada kotak hitam berada dalam bahagian ekor tersebut.

Operasi SAR yang dikendalikan oleh Badan SAR Nasional (Basarnas) dan dibantu oleh beberapa negara lain termasuk pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu memasuki hari ke-14 hari ini dan setakat ini 48 mayat telah ditemui.

Identiti 29 dari mereka telah dikenalpasti.

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu telah berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Disember).

Ia terputus hubungan dengan kawalan trafik udara indonesia sejurus berlepas.

Pesawat kemudian dilaporkan terhempas di Laut Jawa.

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (tiga) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.

Kru terdiri daripada enam Indonesia dan satu Perancis.  - Bernama