MALAYSIAKINI
Australia tidak akan memenuhi permohonan kerajaan Malaysia
untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang bekas anggota
elit polis, Sirul Azhar Umar.
Laporan Sydney Morning Herald menyebut, permohonan tersebut tidak akan dipenuhi kerana ia melibatkan hukuman mati.
Laporan itu memetik kenyataan Jabatan Peguam Negara Australia yang
menyebut, ia hanya akan dipenuhi sekiranya Malaysia berjanji untuk tidak
menjalankan hukuman mati tersebut.
“Undang-undang
ekstradisi Australia tidak membenarkan seorang individu diserahkan
kepada sebuah negara untuk satu kesalahan yang boleh dihukum dengan
hukuman mati, melainkan negara itu memberi kepada Australia satu janji
bahawa hukuman mati tidak akan dijalankan,” laporan itu dipetik.
Australia merupakan salah sebuah negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.
Sirul Azhar (kiri), yang merupakan tertuduh kedua kes
pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, tidak hadir ke mahkamah
pada hari Selasa lalu dan susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan
waran tangkap terhadapnya
Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota
Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah membunuh Altantuya
sembilan tahun lepas.
Mahkamah Persekutuan juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah
Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua mereka.
Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Pada 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke
atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas
didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu.
Gambar Sirul, 43, dan Azilah, 38 (kanan) juga diperolehi hari ini dengan ehsan polis Bukit Aman.
Sirul dan Azilah sebelum ini berjaya mengelak wajah mereka dirakam oleh
lensa kamera sepanjang tempoh perbicaraan dan rayuan, sejak hampir
sedekad lalu.
Kedua-duanya menutup wajah masing-masing dengan rapi ketika dibawa masuk dan keluar daripada bilik mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan