Sabtu, 24 Januari 2015

Atlet paralimpik Mohammad Azlan meninggal akibat kemalangan

THE MALAYSIAN INSIDER


 Pemenang 3 pingat emas Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan Mohammad Azlan Mat Lazim meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Serdang Raya hari ini.

Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang turut melibatkan seorang lagi atlet lompat jauh paralimpik, Farisan Jasna.

Mohammad Azlan, 24, yang juga juara pecut Sukan Para Asia dan Farisan, 25, yang tinggal di asrama MSN, dikatakan menunggang motosikal untuk ke tempat riadah sempena cuti hujung minggu setelah berehat dari sesi latihan.


"Saya difahamkan motosikal ditunggangi Mohammad Azlan dan Farisan kemalangan dengan sebuah van. Mohammad Azlan dikatakan meninggal di tempat kejadian manakala Farisan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. "Mayat Mohammad Azlan juga dibawa ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Safrushahar juga melahirkan rasa sedihnya di atas kehilangan atlet paralimpik itu yang cemerlang dan merupakan ikon harapan negara ke Sukan Paralimpik di Rio 2016.

"Ini satu kehilangan besar... apa lagi yang boleh saya katakan. Sasaran utama Azlan sendiri mahu meraih emas di Kejohanan Dunia di Dubai, seterusnya meraih mata untuk melayakkan dirinya ke Sukan Paralimpik di Rio," tambahnya.

Beliau berkata motosikal yang dinaiki Mohammad Azlan dan Farisan dibeli daripada insentif kewangan hasil kemenangannya di Incheon.

Pada temasya Para Asia di Incheon Oktober tahun lepas, Mohammad Azlan, dari Kemaman, Terengganu menampilkan aksi cemerlang dengan membawa pulang 3 emas menerusi acara 100 meter, 200m dan 400m lelaki dalam kategori kecacatan T38 dan T36.

Farisan, dari Sarawak, merupakan atlet lompat jauh kategori kecacatan T37 yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2013 Nay Pyi Taw, Myanmar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa  dilanggar oleh sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun.

Pemandu terbabit berasal dari Taman Maluri, Cheras.

Beliau berkata mayat Mohammad Azlan dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Mangsa yang meninggal berasal dari Kampung Batu 3 Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu, manakala maklumat mengenai rakannya tidak diperoleh kerana dibawa oleh ambulans ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi. – Bernama

Tiada ulasan: