Jumaat, 2 Januari 2015

Anak-anak syarikat Kerajaan Negeri sumbang RM4.105 juta bantuan pasca banjir

Oleh AFIX REDZUAN


SHAH ALAM- Sejumlah RM4.105 juta berjaya dikumpulkan hasil sumbangan anak-anak syarikat Negeri Selangor kepada Kerajaan Negeri bagi bantuan pasca banjir yang melanda negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Sumbangan ini diserahkan oleh wakil syarikat dan badan korporat kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Foyer Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

bantuanbanjir 4


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) mendahului senarai penumbang menerusi ketagori Perbadanan dengan masing-masing menyalurkan sumbangan bernilai RM500,000.

Bagi kategori Anak Syarikat Negeri Selangor pula, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendahului senarai penyumbang dengan jumlah RM300,000 diikuti dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berjumlah RM200,000 dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad bernilai RM100,000.

Bagi kategori Badan Korporat pula, Tanjong Wahyu Sdn Bhd menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM1 juta.

Ini diikuti dengan syarikat Worldwide Holdings yang memberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM400,000 selain sumbangan berbentuk makanan kering dan lampin pakai buang berjumlah RM100,000.

Mohamed Azmin dalam ucapannya menghulurkan ucapan terima kasih kepada semua Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor dan badan korporat yang tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh Malaysia.

bantuanbanjir 3

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri akan turut sama menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan persekolahan kepada mangsa banjir.

Beliau turut menyeru supaya syarikat pemaju perumahan supaya tampil bekerjasama dengan Kerajaan Selangor membangunkan semula kawasan kediaman mangsa banjir yang telah musnah.

Tiada ulasan: