Altantuya Shaariibuu Altantuya Shaariibuu
 
 
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Januari bagi keputusan berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis terhadap pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
  
Ketua Bahagian komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply mengesahkan tarikh untuk keputusan itu telah ditetapkan pada 13 Januari.
  
Keputusan itu akan disampaikan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mendengar rayuan itu selama tiga hari bermula 23 Jun tahun lepas.
  
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
  
Apabila dihubungi, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Ketua Inspektor Azilah Hadri berkata, firma guamannya menerima notis daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam, memaklumkan mengenai tarikh berkenaan.

Peguam Kamarul Hisham Kamarudin yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar dan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Peguam Cara I (Sektor Litigasi) Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah juga mengesahkan tarikh itu.
  
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 membebaskan Azilah, 38, dan Sirul Azhar, 43, atas pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi, hari berikut pada 2006.
  
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh kedua-dua anggota polis itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia itu dan menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-dua mereka.
  
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 51, yang dituduh bersuhabat dengan Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas (Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasannya. - Bernama