Jumaat, 2 Januari 2015

AirAsia QZ8501: Pesawat Mungkin Mendarat Atas Air - Pakar

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
JAKARTA: Ketika pasukan mencari sedang berusaha mengesan kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, beberapa pakar membuat analisis dengan menyatakan ada kemungkinan juruterbang telah berjaya membuat pendaratan cemas atas permukaan air, bagaimanapun ombak besar telah menyebabkan pesawat tersebut karam ke dasar laut. 

Pesawat Airbus A320-200 berlepas dari bandar Surabaya, Indonesia awal pagi Ahad sebelum ia hilang daripada radar apabila berhadapan dengan cuaca buruk ketika melintasi di Laut Jawa, namun pesawat tersebut gagal menghantar sebarang isyarat kecemasan ke menara kawalan sebelum ia terhempas ke lautan.

"Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) akan tahan daripada sebarang impak atau tekanan, sama ada di daratan, laut, mahupun kawasan pergunungan, dan menurut analisis saya ia tidak berfungsi kerana tiada hentaman kuat ketika pendaratan berlaku," kata Pengarang Kanan Majalah Penerbangan Angkasa, Dudi Sudibyo.

"Juruterbang berjaya melakukan pendaratan di permukaan laut," tambahnya.

Ketika kejadian pesawat malang tersebut membawa 162 orang dalam perjalanan ke Singapura. 

Juruterbang turut meminta kebenaran untuk terbang lebih tinggi pada ketinggian 32,000 kaki bagi mengelakkan awan yang membawa ribut petir.

Walaupun menara kawalan udara membenarkan pesawat bergerak ke laluan kiri, ia tidak membenarkan pesawat terus naik daripada ketinggian sedia ada, kerana terdapat pesawat lain di ketinggian yang diminta, bagaimanapun pesawat berkenaan hilang daripada beberapa minit selepas itu.

Ada juga penganalisis membuat kesimpulan enjin pesawat mati secara tiba-tiba kerana ia bergerak sangat perlahan. Namun semua andaian tersebut masih tidak jelas kerana tiada isyarat kecemasan dihantar daripada kokpit.

Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia berjaya menemui serpihan pesawat pertama di kepulauan Borneo selepas mendapat maklumat daripada nelayan di kawasan berhampiran.

Setakat ini, pasukan penyelamat telah berjaya menemui sembilan mayat.

"Kesimpulan yang dapat saya katakan setakat ini adalah, pesawat tidak meletup di udara, ia juga tidak mengalami sebarang impak ketika ia mendarat di permukaan air, kerana jika kejadian berlaku sebaliknya mayat mangsa tidak akan ditemui dalam keadaan sempurna," kata bekas komander udara, Cahappy Hakim kepada AFP.

Pasukan mencari di udara juga yakin badan pesawat (fiuslaj) berada dalam keadaan baik selepas mereka melihat terdapat bayangan pada dasar laut, yang kini menjadi tumpuan kawasan operasi.

Pintu kecemasan pesawat dan gelongsor kecemasan antara dua item pertama yang ditemui di kawasan pencarian. Ia memberikan gambaran penumpang pertama telah mula dipindahkan sebaik sahaja pesawat mendarat di atas permukaan air.

Bekas menteri pengangkutan, Jusman Syafii Djamal juga yakin dengan penemuaan pintu kecemasan pesawat yang terapung memberikan petunjuk bahawa 'seseorang telah membuka pintu berkenaan'.

Penumpang juga mungkin sedang menunggu pramugari mengembungkan rakit keselamatan apabila ombak besar mungkin telah menghentam mereka, sekaligus mengakibatkan pesawat karam, tambah Jamal.

"Ombak besar mungkin telah menghentam pesawat, yang akhirnya menyebabkan pesawat tersebut karam."

Mengikut piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan semua penumpang boleh dipindahkan daripada sebuah pesawat dalam tempoh 90 saat.

Punca sebenar pesawat berkenaan terhempas masih belum jelas dan ia dijangka dapat diketahui apabila kotak hitam pesawat ditemui.

Pakar daripada Perancis dan Singapura turut menyertai pasukan penyiasat keselamatan dan pengangkutan Indonesia dalam usaha mengesan bangkai pesawat milik syarikat penerbangan AirAsia Indonesia.

Sekiranya ditemui, rakaman suara kokpit akan dapat memberikan perbualan terperinci antara juruterbang sepanjang penerbangan dan saat terakhir sebelum nahas berlaku.  "Semuanya akan terjawab apabila kita menemui kotak hitam pesawat," kata Sudibyo.

Tiada ulasan: