Khamis, 8 Januari 2015

Ahli Parlimen DAP tidak terlibat pembalakan haram, saman Berita Harian

ngeh n nga

 Roketkini.com


IPOH: Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham menafikan fitnah di media sosial kononnya syarikat mereka terlibat dalam aktiviti pembalakan haram di Kelantan.

Kedua-duanya malah telah memfailkan saman fitnah terhadap akhbar Berita Harian berikutan fitnah yang disebarkan itu.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua ahli parlimen itu menjelaskan secara terperinci penglibatan mereka dengan syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd.

“Kami tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti pembalakan samada di Kelantan atau di mana-mana tempat di Malaysia. Syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd sama sekali tidak terlbat dalam aktiviti pembalakan.

“Syarikat itu selama ini hanya terlibat dalam penanaman semula pokok-pokok di atas tanah usaha sama Yayasan Islam Kelantan (YIK),” ujar kenyataan tersebut.

Syarikat Upayapadu Plantation Sdn Bhd adalah syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penanaman semula tanah di Kelantan dan menerima surat penghargaan daripada Jabatan Alam Sekitar.

Surat tersebut diberikan kepada syarikat tersebut kerana melaksanakan dan memenuhi syarat-syarat kelulusan Penilaian Dampak Alam Sekitar (EIA).

Menjelaskan usaha syarikat itu membantu mangsa banjir, Nga berkata mereka telah bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha Ladang Negeri Kelantan.

“Syarikat ini juga telah berkongsi memberikan sumbangan derma berjumlah RM151,500.00 yang telah diserahkan oleh Persatuan Pengusaha Ladang Negeri Kelantan.”

Menurut mereka laporan akbar Berita Harian menuduh syarikat tersebut melakukan pembalakan dan mencemarkan sungai-sungai di Kelantan pada penghujung tahun 2012 adalah berniat jahat

“Kami telah memfailkan saman fitnah terhadap penulis laporan tersebut dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad yang merupakan pemilik dan penerbit Berita Harian.

Kes tersebut telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada bulan Mac tahun ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: