Khamis, 15 Januari 2015

11 penyanyi kelab dari Thailand ditahan

MALAYSIAKINI


Sebelas penyanyi kelab yang didatangkan khas dari Thailand ditahan selepas persembahan mereka di George Town malam tadi tidak memenuhi syarat-syarat agensi pusat permohonan pengembaraan Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).  
  
Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang Hasbullah Abdul Rashid berkata kesemua wanita berusia 20-an itu ditahan selepas mengadakan persembahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Lebuh Pantai di George Town pada kira-kira jam 11 malam.
  
"Berdasarkan pemantauan kami, mereka telah melanggar syarat-syarat yang dinyatakan dalam kelulusan seperti berpakaian mengghairahkan dan tidak mematuhi kod syarat pakaian artis iaitu artis wanita hendaklah menutup badan dari pangkal buah dada hingga ke bawah lutut.
  
"Selain itu terdapat unsur pemberian tips yang melanggari syarat yang ditetapkan iaitu pelanggan pusat hiburan berkenaan akan memberikan kalungan bunga dan selendang kepada artis kegemaran mereka mengikut kadar harga tertentu," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
  
Beliau berkata kalungan bunga dan selendang berkenaan disediakan dengan harga dari RM100 hingga RM500 dan akan dikalungkan sendiri oleh pelanggan kepada penyanyi pilihan mereka.

Hasbullah berkata dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Anson di George Town, pihaknya menahan tujuh wanita Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) premis berkenaan.
  
"Mereka didapati telah menyalah guna pas lawatan sosial dan ada antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.
  
Beliau berkata pihaknya turut menyerbu sebuah rumah kongsi di Jalan Ong Joo Sun dan menahan 25 rakyat asing dari Nepal, Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan China atas pelbagai kelahanan menurut Akta Imigresen.

"Semua mereka yang ditahan dalam operasi dari jam 10 malam hingga 5 pagi itu dibawa ke Pejabat Imigresen negeri di Seberang Jaya untuk didokumentasi bagi siasatan lanjut," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: