10 Januari hari lahir Nik Aziz, Khairy
 
 
SHAH ALAM - Tarikh 10 Januari adalah satu tarikh yang istimewa bagi kedua pemimpin tanah air walaupun berbeza ideologi politik.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkongsi tarikh hari lahir yang sama.

Khairy melalui laman Twitternya mengucapkan terima kasih atas ucapan hari lahir yang diterimanya.

“Terima kasih atas semua ucapan. Tahun terakhir saya dalam 30-an dan sebagai belia. Masa berlalu,”  tulisnya.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno itu menyambut hari lahirnya yang ke-39 manakala Nik Aziz yang ke-84.

Melalui laman Facebook Nik Aziz, satu status dimuatnaik mengenai umur berdasarkan kuliah yang dikendalikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan itu.

"Umur ialah anugerah ALLAH SWT kepada kita. Ia merupakan bekas yang boleh diisi sama ada dengan pahala atau dosa. Orang yang beriman akan sangat bimbang mengisi bekas umur ini dengan dosa kerana takut kesannya pada hidup.

“Sebagaimana orang kita kalau ingin meracun lalang, dibancuh racun di dalam baldi. Baldi itu sebelum diguna semula untuk tujuan lain akan dibasuh sebersih-bersihnya kerana bimbang kesan buruk racun jika tidak dibersihkan.

“Maka sebagaimana kita basuh baldi yang berisi racun bimbang kesan buruknya, demikian bekas umur kita wajib dibasuh dengan amalan soleh jika pernah diisi dengan dosa," bunyi petikan kuliah tersebut.