Rabu, 3 Disember 2014

Warga emas maut terjatuh gaung di Bukit Bendera

MALAYSIAKINI


Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam gaung di Jalan Pokok Cheri, Bukit Bendera di George Town malam tadi.
  
Cheng Seng Lee, 75, ditemui mati dalam gaung berkedalaman 25 meter itu oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 10.24 malam berhampiran stesen nombor dua Bukit Bendera.
  
Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Peyelamat Pulau Pinang V Sasikala  berkata pihaknya terpaksa berjalan kaki selama 45 minit untuk mendaki bukit itu dan mayat mangsa dapat dibawa turun ke kaki bukit pada jam 11.15 malam.

"Mangsa dipercayai terjatuh bersama motosikalnya ketika menuruni bukit. Kami dapati laluan ke bukit agak curam dan sempit selain permukaan yang licin selepas hujan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata 10 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan kehilangan warga emas itu pada jam 8 malam.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar ke kebun miliknya yang terletak di kawasan bukit itu, 3 petang semalam.
  
"Mangsa berseorangan ke kebun itu dan pemeriksaan awal mendapati dia mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat terhentak dan motosikalnya turut menghempap badannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - Bernama

Tiada ulasan: