Selasa, 2 Disember 2014

Turun 2% undi, Muhyiddin tanya ahli Umno atau Najib?

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Jika Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menanyakan ahli parti itu mampukah mereka mengelakkan penurunan 2 peratus undi itu, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak seharusnya lebih utama ditanya.

Bagi penulis Shahbudin Husin yang berpandangan daripada semua masalah yang dikaitkan berpunca daripada Najib, berapa peratus pula yang boleh diperbaikinya dalam tempoh 39 bulan menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kiranya Najib tiada jawapan mengenai persoalan ini, adalah sia-sia meminta ahli dan pimpinan Umno bawahan berusaha mengelakkan penurunan 2 peratus yang dibimbangi oleh Muhyiddin itu?" tulis beliau dalam blognya, semalam.

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu telah melontarkan cabaran yang kritikal kepada ahli parti itu iaitu hanya dengan penurunan 2 peratus undi saja lagi akan menyebabkan Umno dan BN kecundang dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau menggambarkan bahawa berdasarkan trend sokongan yang kian merosot sejak Pilihan raya Umum 2008, penurunan hanya 2 peratus saja lagi akan menyebabkan BN hanya mampu menang 103 kerusi Parlimen saja dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Bagi Shahbudin, apa yang ditimbulkan oleh Muhyiddin itu bukan saja cabaran kepada seluruh ahli, pemimpin dan jentera Umno seluruh negara tetapi juga merupakan hentakan yang barangkali ditujukan secara khusus kepada Najib selaku pemimpin utama parti dan kerajaan.

Ini kerana, menurutnya mahu tidak mahu, harus disedari bahawa masalah dan persepsi negatif kepada Umno dan kerajaan sekarang sebahagian besar berpunca daripada Najib sendiri.

Beliau berpanangan beban yang ditanggung oleh Umno dan kerajaan sekarang sekurang-kurangnya 60 peratus adalah berpunca daripada Najib dan segala kelemahan dalam dirinya.

Selebihnya, kata beliau mungkin berkaitan kelemahan beberapa pemimpin lain termasuk Muhyiddin sendiri, cara bekerja, budaya buruk parti, hal berkaitan kerajaan dan juga persepsi terhadap Umno itu sendiri.

Beliau berpendapat pelbagai kelemahan Najib yang lain seperti gagal meningkatkan ekonomi negara, pengurusan kewangan yang lemah, peningkatan hutang, pentadbiran kerajaan yang dipertikai, hubungan kaum yang merenggang, melantik pemimpin yang dipertikai sebagai menteri, gagal bertindak pantas menyelesaikan isu-isu dengan banyak berdiam daripada bertindak dan sebagainya lagi adalah antara deretan masalah yang menjadikan Umno dan kerajaan terus dipertikaikan oleh rakyat.

"Ditambah dengan pelaksanaan GST bermula April 2015 yang akan terus menjadikan kos hidup rakyat meningkat, setelah pelbagai kenaikan kos berlaku sebelum ini, sentimen rakyat lebih mudah membenci daripada menyokong Umno dan BN," ulasnya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: