Jumaat, 12 Disember 2014

Tiada Melayu, tiada Malaysia selamatkan MAS

SUBKY LATIF 


SEBELUM Idris Jala muncul sebagai CEO MAS semasa Tun Abdullah Badawi memerintah, merata-rata orang bercakap kemungkinan seorang Orang Putih hendak dijadikan CEO syarikat penerbangan negara yang berada di ambang musnah.
    
Sudah lebih dari sekali duit dari luar dicurahkan kepada syarikat itu bagi menyelamatkannya daripada mati atau dijual kepada mana-mana saudagar asing supaya ia boleh terus beroperasi.
   
Akhirnya datanglah Idris Jala yang bukan dari kalangan pengurusan penerbangan bagi menyelamakannya. Idris itu hebat, dari seorang yang tidak dikenali, tidak sekadar jadi CEO MAS tetapi dari seorang yang tidak diketahui penglibatan politiknya, dia dijadikan menteri pula pada masa tiada rombakan kabinet.
   
Mengapa jadi menteri pula? Seolah-olah kabinet/kerajaan pula hendak diselamatkan. Sesudah hendak menyelamakan MAS, kerajaan BN yang kurang majoriti itu pula seperti perlu diselamatkannya.
    
Agaknya MAS sudah selamat, kerajaan yang lemah itu pula mesti diselamatkannya.
     
Tinggallah MAS yang orang luar sangka sudah selamat setelah ada Idris. Lepas itu MAS hidup segan mati tak mahu juga atau hidup tidak, mati pun tidak.
     
Sekarang benar-benar terjadi, MAS cari Orang Putih juga untuk menyelamatkannya. Pemerintah dari Pak Lah hingga ke Najib, bukan saja tidak dapat orang Melayu, bahkan tidak dapat orang Malaysia hendak diberi kepercayaan bagi menyelamatkan MAS. Bagi pada Orang Putih juga akhirnya.
    
Ketika mula merdeka hampir 60 tahun dulu semua jawatan penting kerajaan dan swasta dibagi pada Orang Putih. Orang kita sendiri pun tidak percaya kepada orang kita. Mungkin justeru persepsi. Lepas dirasakan merdeka betul satu demi satu jawatan yang diberi pada Orang Putih.

Apabila kebanyakan syarikat dan ladang besar dimiliki orang asing, TS Khalid Ibrahim yang jadi CEO PNB runding ambil semua syarikat itu. Boleh orang Melayu jadi CEO dan tadbirkan syarikat dan pentadbiran besar.

Apabila kita berpecah dengan Singapura, kita pecahkan MSA syarikat penerbangan yang satu itu kepada dua, satu untuk Singapura dan satu lagi MAS untuk Malaysia. Kita angkat Tan Sri Aziz Abdul Rahman jadi CEO-nya dan Raja Mohar jadi pengurusinya. Kita tidak banyak tahu akan pengalaman Aziz untuk diberi jawatan itu. Syarikat penerbangan mana yang dikendalinya sebelum itu? Elok saja MAS itu.

Kita tidak ada masalah bagi menggantikan CEO Petronas, CEO Khazanah dan Sime Darby, tetapi kerajaan merasakan masanya telah tiba bagi Orang Putih datang semula untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu. Dulu kita gantikan Orang Putih dengan Orang Melayu, tetapi seperti tiada lagi orang Melayu/orang Malaysia untuk menjadi CEO bagi syarikat yang dilaknat Allah itu.

Apakah sudah tidak orang dalam negeri yang layak bagi menyelamatkannya? Orang dalam negeri seperti Tan Sri Aziz yang jadi CEO MAS yang pertama berpendapat, belum habis orang dalam negeri yang berkelayakan dan boleh mengendalikannya. Belum diperlukan lagi Orang Putih yang tidak tahu budaya orang tempatan, katanya.

Padanya, dia tahu orang yang berupaya mengendalikan kerja menyelamatkan MAS. Daripada 28 juta rakyat itu masakan seorang pun tidak ada yang layak. Atau apa jadi kepada Malaysia Boleh? Adakah Malaysia sudah jadi tidak boleh?

Yang kata Malaysia Boleh dulu Dr. Mahathir. Dia masih hidup, seolah-olah Malaysia sudah tidak boleh? – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: