Isnin, 15 Disember 2014

Tanah Rizab Melayu: Angan-angan atau realiti

ADIB AZMAN


TAJUK tulisan ini mungkin agak sedikit provokatif, namun dalam lanjutan tulisan ini, ia akan menjelaskan kenapa tulisan ini diberi tajuk sedemikian. Sebelum pergi dengan lebih lanjut, amatlah baik untuk menelusuri semula antara kandungan “Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu” yang diisytiharkan pada 5 Ogos 1957. Antara lain kandungannya menyebut;

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, hasil dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain”

Satu wasiat yang sangat utuh selain indah untuk dihayati oleh generasi muda hari ini, khususnya orang Melayu sendiri dewasa ini. Namun, yang berlaku selepas puluhan tahun di Malaysia, tanah rizab Melayu ini makin hilang dan dirampas oleh pihak kapitalis yang angkuh, sehingga hari ini hanya tinggal 12 peratus sahaja. Satu kajian yang dikeluarkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyebut kumpulan tanah rizab Melayu yang tinggal hanya 12 peratus. Jumlah ini hanya sebahagian daripada 12.9 juta hektar tanah daripada keseluruhan Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang.

Bagaimana pula dengan nasib kampung-kampung warisan Melayu? Nasib yang sama juga menimpa mereka. Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, Kampung Matau di Jengka Pahang, Kampung Banggol Donas di Kuala Nerus Terengganu, Kampung Puah Seberang di Kuala Lumpur, Kampung Chetti di Melaka dan lain-lain kampung warisan yang tidak disebutkan, kesemua kampung ini menjadi jamuan yang menyelerakan bagi pihak kapitalis yang lapar mengejar keuntungan tanpa memikirkan nasib para penduduk kampung yang telah menghuni kampung warisan tersebut puluhan tahun.

Sebagai contoh, dalam isu Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, para penduduknya digelar setinggan oleh pihak pemaju sedangkan para penghuninya memiliki “Lesen Menduduki Beserta Ekuiti” (Licensees Coupled With Equity). Nasib 160 keluarga yang tinggal di sana menjadi  taruhan apabila jentolak meranapkan rumah-rumah mereka malah ada yang ditangkap dan diheret ke balai polis kerana mempertahan kampung mereka tempoh hari lalu. 200 keluarga di Kampung Matau Jengka Pahang juga menjadi mangsa apabila rumah mereka diranapkan oleh pihak Majlis Daerah Maran atas tujuan pembangunan kedai. Penduduk Kampung Puah Seberang pula tidak diberi pampasan yang setimpal  sedangkan tanah mereka bakal dibangunkan dalam projek River Of Life.

Dalam kes Kampung Banggol Donas di Kuala Nerus Terengganu, nasib yang sama menimpa mereka atas alasan kampung mereka adalah cadangan laluan baharu antara Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda. Penduduk kampung diberi notis untuk keluar dari tanah tersebut dalam tempoh 21 hari.

Dalam keadaan yang ditekan, penduduk kampung masih bersikap rasional dengan mencadangkan kawasan tanah sekitar yang tidak berpenghuni sebagai laluan alternatif baharu. Namun cadangan mereka diabaikan oleh pihak pemaju syarikat milik bekas Ketua Pemuda Umno Terengganu. Kini hanya tinggal lima keluarga sahaja daripada 24 keluarga yang bertahan di sana.

Ke manakah hala tuju, nasib dan hak pemilikan tanah orang Melayu sedangkan dalam setiap Perhimpunan Agung Umno saban tahun, ucapan dan teriakan membela nasib orang Melayu, membangunkan nasib dan pemilikan ekonomi orang Melayu, tangan-tangan yang diacung ke udara tanda sokongan, slogan-slogan “Hidup Melayu, Hidup Umno”, semua ini hanyalah metafora yang dilampirkan oleh golongan yang selalu menggelar diri mereka pembela nasib Melayu. Hakikatnya orang Melayu makin tertindas dan tertipu diabaikan oleh golongan ini secara sedar dan tidak sedar.

Boleh dilihat sendiri seawal dalam polisi Dasar Ekonomi Baru, satu dasar yang diunjurkan oleh Tun Abdul Razak usai peristiwa 13 Mei 1969. Dasar dan polisi ini diluncurkan untuk mengimbangi penguasaan ekonomi antara kaum dan pecahan kek ekonomi dapat dirasai dengan adil dan saksama oleh rakyat.

Sasaran utama dasar ini adalah membangunkan masyarakat Melayu desa agar turut bersaing dalam perlumbaan ekonomi dan kemandirian hidup di Malaysia. Maka lahirlah cadangan mewujudkan FELDA dan kemudiannya FELCRA. Antara sasaran utama dalam dasar ini menyasarkan penguasaan ekuiti Bumiputera mencapai 30 peratus ekonomi negara.

Tidak dapat dinafikan ada juga kebaikan daripada dasar ini apabila hasil FELDA dapat dituai dan dinikmati oleh generasi kedua dan ketiga peneroka, namun sehingga ke hari ini sasaran pegangan ekuiti ini gagal untuk dicapai kerana sikap tamak pihak berkepentingan dalam politik mengaut keuntungan untuk tembolok mereka sendiri.

Saham Felda Global Venture (FGV) hari ini sudah merudum di Bursa Saham Kuala Lumpur, tidak pasti adakah peneroka sedar atau tidak bahawa tanah mereka akan tergadai kelak jika saham terus jatuh, hal ini kerana secara tidak sedar, tanah rancangan mereka sedang dipajak oleh pihak FGV. Nasib orang Melayu ditindas oleh orang Melayu sendiri yang laparkan harta dan keuntungan untuk pihak tertentu yang berada di sekeliling mereka.

Permainan politik, menabur duit dan cadangan projek-projek pembangunan sewaktu pilihan raya umum menjadi instrumen yang ampuh dalam memenangi hati orang Melayu. Hakikatnya ada yang gagal dilaksanakan malah dalam laporan audit oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini, pengerusinya Datuk Nur Jazlan memanggil lapan kementerian untuk mendapatkan keterangan bagaimana boleh berlakunya ketirisan dalam soal pengurusan wang dan pentadbiran oleh pihak kementerian.

Lantaran itulah, tanah rezab Melayu akan terus menjadi tanah angan-angan orang Melayu sekiranya mereka masih tidak sedar akan apa yang menimpa mereka hari ini. Mungkin hanya segolongan penduduk kampung dan desa menjadi mangsa kerakusan pihak pemaju dan kroni-kroni Umno, jangan hairan kalau kelak pada masa hadapan, orang Melayu sendiri akan merempat dan menjadi penduduk setinggan sedangkan laungan “Hidup Melayu, Hidup Umno” masih bergema kuat di dewan PWTC. – HARAKAHDAILY

Penulis adalah Adib Azman, aktivis Pro-Mahasiswa We Unite For Islam (WUFI) UIAM.

Tiada ulasan: