Rabu, 3 Disember 2014

Tak mohon maaf, MB Pahang akan saman Utusan

MALAYSIAKINI


 


Selepas tarikh akhir untuk akhbar milik Umno - Utusan Malaysia - memohon maaf, tamat semalam, peguam yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau telah menerima arahan untuk memfailkan writ saman RM15 juta.

Peguam kanan Manjeet Singh Dhillon, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan tiada permohonan maaf yang diterima dari akhbar tersebut.

"Saya telah menerima arahan untuk memfailkan writ (saman) dalam beberapa hari lagi," kata Manjeet.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Manjeet telah menghantar surat tuntutan kepada Utusan dua minggu lalu  berhubung kolum Awang Selamat "Hebat Sangatkah Adnan?' dalam reaksinya terhadap komen Adnan berkaitan kejadian banjir lumpur di Cameron Highlands.

Adnan menuntut Utusan menyiarkan permohonan maaf di muka depan kerana didakwa membayangkan Adnan telah terlajak tempohnya menjadi menteri besar.

Adnan menjadi MB Pahang selama 15 tahun sejak 1999, menjadikan beliau menteri besar Umno yang paling lama memegang jawatan tersebut.

MB Pahang itu mendakwa artikel tersebut  tohmahan yang telah menimbul ejekan dan kebencian awam terhadapnya.

Adnan antara lain mendakwa artikel itu bermaksud beliau tidak mempunyai integriti, MB yang gagal dalam tugasnya, terlajak kedudukannya sebagai MB,  dan seorang yang sombong dan menolak sebarang bentuk kritikan.

Tiada ulasan: