Selasa, 9 Disember 2014

"Saya Tak Mahu Jadi Boneka," - Ketua Pembangkang Selangor


 MSTAR ONLINE

 
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Shamsuddin Mohd Lias dari Barisan Nasional (BN) mengumumkan peletakkan jawatannya berkuatkuasa pada Isnin dengan alasan beliau enggan memikul tanggungjawab sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri.

Di Dewan Undangan Negeri Selangor kini, jawatan ketua pembangkang adalah juga memikul tanggungjawab sebagai pengerusi PAC.

Menurut Shamsuddin, beliau enggan menjadi boneka kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana jawatan ketua pembangkang itu mewajibkannya menjadi pengerusi PAC.

"Saya tiada pilihan...saya harus mempertahankaan prinsip yang menjadi asas integriti saya atau saya terima tawaran (PAC) di mana kuasa hanya ada pada nama sahaja. Tangan saya terikat dan saya terpaksa tunduk dengan tekanan apabila menjadi pengerusi PAC nanti," ujarnya lagi.

Katanya, jawatan dalam PAC itu tidak berkonsepkan demokrasi dan tidak adil seperti mana yang digembar-gemburkan oleh kerajaan PR Selangor.

Ini kerana kata Shamsuddin, komposisi tujuh ahli jawatankuasa itu memperlihatkan nisbah yang berat sebelah iaitu lima Adun dari PR, satu Adun BN (Jeram) dan dirinya sendiri.

Jelasnya, apa makna jawatan sekiranya jawatan itu tidak memberi kuasa kerana kuasa yang sebenar tetap berada di pihak PR dengan jumlah perwakilan yang majoriti.

Oleh hal yang demikian beliau melihat kedudukan pengerusi hanyalah boneka semata-mata.

Lima ahli jawatankuasa PAC PR ialah Adun Sekinchan Ng Suee Lim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kajang), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Abdul Rani Osman (Meru).

Malah katanya, pemberian jawatan pengerusi PAC kepada BN hanyalah muslihat kerana PR ingin menuntut hak yang sama di peringkat pusat.

Pada 4 Disember baru-baru ini, DUN Selangor yang bersidang telah meluluskan pindaan peraturan tetap 68(1) yang mewajibkan ketua pembangkang turut menjadi pengerusi PAC.

Sehubungan dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan ketua pembangkang, Adun Sungai Burong itu turut memulangkan kereta rasmi negeri, Toyota Camry kepada kerajaan negeri.
Beliau hanya mula menggunakan kereta rasmi itu bulan lalu.

Menurut Shamsuddin, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali cuba meraih keuntungan politik dengan memberi kemudahan kereta itu semasa di bawah pentadbirannya.

Sebaliknya jelas Shamsuddin, peruntukkan kereta itu untuk kegunaan ketua pembangkang adalah atas daya usaha Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam perkembangan yang berlainan, beliau juga mendesak Azmin supaya menamatkan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor selepas Sultan Selangor menarik balik darjah kebesaran "Datuk Seri" kepadanya.

"Sekiranya sungguh Azmin mahu mempertahankan prinsip integriti, beliau hendaklah terlebih dahulu berani menamatkan khidmat ahli Parlimen Permatang Pauh sebagai penasihat ekonomi Negeri Selangor, itu baru betul," ujarnya.

Tiada ulasan: