Selasa, 9 Disember 2014

Royalti: PAS sokong Terengganu tuntut 20 peratus

HARAKAHDAILY

 
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu diingatkan supaya jangan hanya mengharapkan bantuan ehsan daripada Pusat sahaja untuk mendapatkan hasil negeri
.
Justeru, Ketua Pembangkang, Ustaz Satiful Bahari Mamat menggesa kerajaan negeri supaya mengambil kira istilah royalti kerana ia menjadi hak negeri ini.

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan Bajet 2015 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Semasa membentangkan bajet itu semalam, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk terlibat dalam polemik sama ada sumber pendapatan negeri adalah royalti ataupun bukan royalti.

Katanya, daripada jumlah anggaran hasil negeri yang dianggarkan RM2.4 bilion tahun hadapan, 88.6 peratus bakal diperolehi daripada sumber Persekutuan khususnya melalui dana khas serta pemberian tahunan sementara baki 11.4 peratus sumber negeri.

"Perkataan perlu diambil kira, istilah penting, royalti hak kita dalam hal ini," ujar Satiful Bahari yang juga Adun Paka.

Menurutnya, negeri-negeri yang mempunyai hasil petroleum dan menerima royalti tidak pernah menyebut pemberian itu adalah dana khas.

Justeru, beliau menegaskan semua Adun daripada PAS akan menyokong untuk menuntut royalti sebanyak 20 peratus sebagaimana usul yang pernah diterima sebulat suara pada persidangan Dun Sarawak.

Pada 6 Mei lalu, Dun Sarawak meluluskan usul untuk memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri itu daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

"Kami akan sokong untuk dapat royalti 20 peratus, hak negeri dan hak rakyat negeri ini," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Beliau juga mendesak kerajaan negeri supaya mempertahankan kawasan medan minyak yang baru di Blok PM307 Bertam.

Sehubungan itu, beliau memuji sikap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini yang mempertahankan kawasan medan minyak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang itu adalah milik negeri ini.

Bekas menteri besar itu pernah memberitahu bahawa kerajaan negeri telah menulis surat secara rasmi kepada Petronas untuk mendapatkan penjelasan mengenai penemuan minyak di blok berkenaan.

"Kalau hak kita, kita perlu pertahankan," tegas Satiful.

Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) yang turut membahaskan bajet itu juga melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan negeri berhubung royalti petroleum itu.

Katanya, kerajaan mesti mempertahankan royalti kerana ia penting untuk rakyat negeri ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: