Jumaat, 5 Disember 2014

RCI pendatang: Najib digesa adakan sidang khas parlimen

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang Parlimen Khas bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah.

Katanya, ‎laporan RCI itu menunjukkan wujudnya sindiket dan individu yang dibantu oleh pegawai yang korup mengambil kesempatan atas kelemahan sistem kerakyatan berinstitusi demi keuntungan kewangan.

"Dakwaan wujud sindiket dalam 'Projek IC' Sabah seperti yang dilaporkan RCI adalah satu perkara yang merbahaya.

"Najib perlu mendedahkan laporan tersebut di parlimen bagi membolehkan ia dibahas oleh semua ahli-ahli parlimen tidak kira dari Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional," katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, semua pihak ingin mengetahui bagaimana wujudnya sindiket dan tujuan sebenar sindiket tersebut.

"Ini melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara, kita mahu penjelasan khusus kerajaan mengenai kewujudan sindiket tersebut.

"Perkara ini tidak boleh dipandangan mudah kerana dengan pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing sebenarnya membahayakan kedaulatan negara ini," sambung beliau lagi.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga berharap Najib boleh menyegerakan sidang Parlimen Khas sebelum berakhirnya 2014.

Sementara itu, laporan RCI mendapati tiada kesahihan kewujudan 'Projek IC', namun ia turut membuktikan wujud sindiket yang menguruskan pemberian MyKad kepada pendatang asing.

‎Statistik dari tempoh 1996 hingga 2000 menunjukkan ketibaan orang Indonesia ialah 457,850 tetapi pelepasan pulang mereka hanya 228,366 orang.

Dalam tempoh yang sama, direkodkan ketibaan orang Filipina ialah 210,910 orang dan pelepsn pulang mereka ilah 199,169 orang.

Keadaan ini menyebabkan Sabah mengalami kesan limpahan yang berganda dalam isu warga asing.‎ - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: