MAS MAS
 
 
SHAH ALAM - Tindakan kerajaan melantik orang luar untuk mengetuai MAS adalah kurang menyenangkan, kata Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Menurutnya, MAS bukan syarikat penerbangan komersil biasa tetapi lebih kepada syarikat penerbangan negara.

"Operasi harian MAS termasuk dalam sektor strategik terpenting Malaysia kerana ia membabitkan soal maruah dan keselamatan negara.

"Sebagai perbandingan, rakyat juga tidak akan bersetuju jika kerajaan melantik warganegara asing mengetuai ‘Syarikat Perumahan Negara’ atau mana-mana syarikat yang berstatus ‘Negara’," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, adalah lebih baik rakyat Malaysia sendiri yang menguruskan hal ehwal negara ini termasuk bagi menguruskan MAS.

"Kita sewajarnya mempercayai bakat-bakat rakyat Malaysia sendiri kerana kita sudah pun menyediakan sistem pendidikan, latihan dan pendedahan yang terbaik di rantau ini.

"Anak tempatan bukanlah calang-calang, malah ramai yang diakui kehebatannya di seluruh dunia. Tindakan menggantikan kepimpinan MAS dengan CEO warganegara asing bukanlah satu penyelesaian jangka panjang yang terbaik," katanya.

Selain itu, Khairul Anwar juga berkata, kerajaan perlu mengkaji semula rantaian perniagaan MAS, daripada pembekalan keperluan, peralatan dan kelengkapan yang mungkin ada ketirisan termasuk hidangan arak.

"Rakyat Malaysia mahu MAS mementingkan strategi korporat yang termaju dan tertib, kepimpinan korporat berteraskan integriti, daya juang dan semangat cintakan negara yang tinggi serta kepatuhan kepada amalan syariah," katanya.