Peserta bersemangat berjalan kaki sebagai sokongan kepada usaha membanteras rasuah Peserta bersemangat berjalan kaki sebagai sokongan kepada usaha membanteras rasuah
 
 
KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam Walk Against Corruption anjuran Transparency International-Malaysia (TI-M) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Menbanteras Rasuah, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan Program Pembangunan PBB (UNDP) di sini, semalam.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, program yang dianjurkan buat kali ketiga itu menyokong tema ‘Negara Bebas Rasuah Bermula dengan Anda’ sebagai melambangkan komitmen masyarakat dalam membanteras jenayah rasuah.

“Matlamat program ini adalah untuk menunjukkan sokongan serta meningkatkan kesedaran orang ramai dalam memerangi rasuah di semua peringkat.

“Anda, rakyat, adalah sebahagian daripada perubahan yang meresapi seluruh negara. Kita mesti bersatu dan bersikap sifar toleransi terhadap rasuah termasuk menerima atau memberi rasuah,” katanya.

Menurut Akhbar lagi, aktiviti berjalan kaki sejauh 1.4 kilometer itu turut menampilkan penglibatan daripada NGO, sektor swasta dan agensi penguatkuasaan.

Katanya, gandingan tersebut disifatkan amat baik bagi mengumpul idea dan pandangan mengenai usaha pencegahan rasuah.

“Selama ini, kita telah banyak bercakap mengenai sebab dan implikasi rasuah. Tetapi sudah sampai masanya kita laksanakan tugas tersebut dan tidak hanya bergantung kepada SPRM dan agensi penguat kuasa.

“Sebaliknya, masyarakat, NGO serta sektor swasta perlu tampil bekerjasama dengan SPRM bagi mengenal pasti pelaku rasuah. Kita yakin SPRM pasti berbesar hati untuk mengambil tindakan hasil maklumat yang diterima,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya amat mengalualukan program sebegini bagi menunjukkan solidariti dan kesinambungan pelbagai lapisan masyarakat dalam membanteras rasuah.

“Kita telah mengetengahkan konsep ‘Merakyatkan SPRM’ dalam usaha mendekati komuniti. Selain itu, penting juga untuk kita mendekati NGO, sektor swasta dan parti politik.

“Kita mahu memberi kesedaran bahawa rasuah bukan saja boleh memberi kesan kepada individu tetapi juga organisasi, masyarakat dan negara. Sebab itu, kita akan teruskan usaha sama sebegini pada masa akan datang dengan impak yang lebih besar,” katanya.

Selain berjalan mengelilingi Tasik Titiwangsa, program turut dimeriahkan dengan acara senam aerobik, cabutan bertuah serta pameran di gerai-gerai agensi terlibat.