Radio kerajaan masih relevan
 
 
BIARPUN bersaing dengan media elektronik lain seperti televisyen dan internet, radio masih lagi tetap mendapat tempatnya ekoran ciri-ciri radio itu sendiri yang mudah alih serta mempunyai fleksibiliti masa serta tempat untuk mendapatkan aksesnya.

Peranan radio dalam pembangunan bangsa dan negara tidak harus diperkecil. Masakan tidak, pada zaman sebelum merdeka, radio menjadi wadah dalam menyemarakkan semangat nasionalisme selain mendapatkan maklumat tentang isu-isu semasa.

Seiring dengan itu, stesen radio awam yang berada di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus berperanan dalam memberikan perkhidmatan penyiaran dan menyebarkan maklumat, di samping memupuk perpaduan masyarakat.

Ditambah dengan kecanggihan teknologi maklumat masa kini, RTM terus unggul dengan peranannya yang signifikan dan identitinya tersendiri.Ikuti temu bual Zass bersama Pengarah Program Bahagian Radio, Jabatan Penyiaran Malaysia, Dr Nawiyah Rita Che Lah, berhubung misi dan peranan radio awam ini.

Boleh Dr terangkan lebih lanjut peranan sebenar radio awam dan apakah keistimewaannya?

Stesen radio awam yang berada di bawah RTM adalah berkonsepkan Infotainment iaitu menyampaikan maklumat dan informasi kepada masyarakat di samping memberi hiburan. Di seluruh negara, secara keseluruhannya terdapat 33 stesen radio dengan pembahagian enam stesen nasional, 14 stesen negeri dan 13 stesen radio tempatan. Menepati konsep untuk semua masyarakat Malaysia, setiap stesen radio yang diwujudkan menerapkan unsur-unsur integrasi dan berperanan dalam memaparkan aktiviti serta diari harian yang berlaku di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Apa yang penting, setiap stesen radio yang diwujudkan mencerminkan masyarakat di negara ini dan sentiasa berfokus kepada matlamat asalnya.

Sehingga kini, bagaimana dengan rating untuk semua radio ini?

Setiap bulan, kita sememangnya selalu membuat kajian kerana kita perlu lihat apakah yang pendengar suka atau tidak. Kajian ini penting dalam menentukan kedudukan rating radio RTM. Rating semua stesen radio ini dilakukan oleh Media Analytics dan kadang kala akan melakukan sedikit perubahan berdasarkan kepada keadaan rating. Ketika peristiwa MH17 dan MH370, rating di semua stesen radio kita naik ekoran keinginan masyarakat mendapatkan berita sahih lebih tinggi. Ini menunjukkan yang kita masih lagi berkaliber dan relevan dari segi penyampaian maklumat.

Pada 2015, bagaimana hala tuju stesen-stesen radio awam ini?

Semua pasaran radio swasta adalah lebih kepada hiburan semata-mata. Justeru, bagi memberikan perbezaan, untuk tahun 2015, kami berusaha menggerakkan National Blue Ocean Strategy atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan kerana kita tidak mahu berada dalam pasaran yang sama. Matlamat utama kita adalah menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan itu adalah sasaran kami. Kami tahu sekiranya sesuatu radio itu hanya ‘bercakap’, memang akan membosankan, oleh itu, kita akan mencampurkannya dengan hiburan yang berkualiti.

Jadi, apakah sasaran utama untuk tahun hadapan?

Selain memantapkan program sedia ada, untuk kalendar 2015, setiap stesen radio ini telah diisi pelbagai program baharu yang akan diketengahkan. Contohnya, seperti Nasional FM akan membawakan program Ke Mana Kita yang berpeluang menerangkan keistimewaan sesuatu lokasi di negara kita dan Che Kaya (temu bual secara santai bersama seseorang yang berjaya dalam perniagaannya). Sesuai dengan matlamat yang ingin memberi maklumat dan informasi, tujuan kita adalah untuk melahirkan masyarakat berinformasi dan berpengetahuan.

Pandangan Dr apabila ada yang kata stesen radio awam agak membosankan lebih-lebih lagi apabila menekankan penggunaan bahasa baku ketika berkomunikasi?

Sebagai stesen penyiaran negara, RTM memang sewajarnya mempunyai tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Jika dari sudut bahasa, kita mengambil pendekatan tidak akan mengubah apa-apa, sebaliknya kita berusaha untuk mengubah intonasi agar lebih santai. Malah, kita juga menjalinkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menjaga bahasa negara ini. Jika kita tidak menjaga, apa akan jadi pada zaman cucu-cicit kita nanti.

Pandangan Dr apabila radio swasta kini lebih suka mendapatkan khidmat pelawak sebagai DJ?

Mereka membekalkan alternatif tetapi apa yang kita mahukan adalah kepelbagaian.  Ini kerana, apa yang kita mahukan adalah untungnya kita terletak pada pendengar sendiri. Tambahan pula, audiens punya kuasa untuk memilih stesen radio mana yang mereka hendak dengar.

Oleh kerana 2014 hampir melabuhkan tirai, ada program tertentu yang dianjurkan dan apakah harapan untuk tahun 2015?

Pada 31 Disember ini iaitu sempena malam tahun baru, kami akan mengadakan Konsert Aktif 7 di Taman Tasik Titiwangsa dan akan menyiarkannya secara langsung di Nasional FM, KLFM, TV2 dan TVi khas buat masyarakat dengan menampilkan artis-artis popular seperti Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah dan One Nation Emcess. Pada masa sama, kami juga cenderung untuk mengadakan program agama iaitu Khas Istimewa Raudhah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya dengan penampilan khas Ustaz Kazim Elias dan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias. Sebagai penyiar kerajaan, kita bukan saja bertumpu pada satu arah, sebaliknya turut membawakan aktiviti-aktiviti berunsur keagamaan. Sebelum itu, kita akan menganjurkan Karnival Raudhah selama tiga hari mulai 29 Disember depan. Saya mengharapkan agar lebih ramai pendengar radio RTM kerana saya merasakan kita membawa pelbagai informasi dan muzik yang dapat memenuhi permintaan setiap lapisan masyarakat.