Khamis, 11 Disember 2014

PKR kata BN Selangor tidak hormat sistem demokrasi


 Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin
 
 
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor, jelas menunjukkan ketidakhormatan kepada proses demokrasi dan sistem monarki negara ini sekiranya enggan menamakan jawatan ketua pembangkang bagi negeri tersebut.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata,  jika BN masih berdegil ia akan melihatkan BN Selangor gagal memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat setelah mereka dipilih sebagai wakil negeri.

“Jika terus bersikap tidak matang, meletakkan jawatan adalah jalan terbaik bagi Umno supaya tidak berlarutan masalah dalam jangka panjang di Selangor.

“Ini adalah satu langkah yang amat mengecewakan apabila mereka telah diberi mandat dari rakyat pada pilihan raya yang lalu bagi mewaikil suara mereka di dalam Dewan Negeri.

“…tetapi tidak digalas dengan baik. Oleh itu Rakyat Selangor harus bangkit dan menyuarakan bantahan kepada BN yang mewakili kawasan mereka untuk memastikan bahawa BN menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zuraida berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias yang meletakkan jawatan dan memulangkan kereta rasmi, Isnin lalu.

Untuk rekod sehingga kini, nama Ketua Pembangkang Selangor yang baharu belum dinamakan.
Terdahulu, Speaker Dun, Hannah Yeoh menggesa BN segera menamakan Ketua Pembangkang  bagi meneruskan tanggungjawab semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.

Hannah berkata, BN perlu memilih salah seorang daripada 12 Adunnya yang layak dan sudi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sekaligus Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Kerajaan (PAC).

"Sekiranya BN berkeras enggan menamakan salah seorang Adunnya, mereka perlu jawab kepada rakyat kerana tugas semak dan imbang ialah tanggungjawab pembangkang di setiap negeri.

"Kita tukar Peraturan Tetap 68 (1) supaya Pengerusi PAC dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang bukan untuk main-main tetapi diselaraskan dengan negara Komanwel lain seperti Australia, United Kingdom, India dan New Zealand," katanya ketika sidang media di pejabatnya, semalam.

Tiada ulasan: