Khamis, 4 Disember 2014

Pengapungan terkawal tapi harga barang tetap naik

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Kaedah pengapungan terkawal petrol RON95 dan diesel yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan akan memberi perubahan terhadap harga barang di pasaran, demikian menurut Lajnah Pekerja dan Pengguna, Anuar Tahir.

Katanya, apatah lagi kaedah pengapungan itu dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu sudah tentu mustahil untuk harga barang diturunkan walaupun berlaku penurunan harga petrol.

Tambahnya, harga petrol RON95 hanya turun 4 sen sahaja, dan bukan dalam tempoh jangka masa panjang.

"Sudah tentu tidak ada perubahan pada harga barang. Ia tidak ada perubahan pada dasar, harga barang tetap akan naik," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya tindakan kerajaan ini tidak memberi kegembiraan kepada rakyat di saat harga barang masih lagi mahal selepas kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen sebelum ini ini.

"Sebenaranya rakyat terus terdera dalam suasana hari ini dan ianya akan berterusan. Dan keadaan bertambah buruk apabila kerajaan memperkenalkan GST nanti," katanya.

Kaedah pengapungan yang buat pertama kali diperkenalkan di negara ini, katanya akan menyebabkan harga di pasaran tidak menentu akhirnya pengguna yang menjadi mangsa.

"Industri di negara kita banyak pakai diesel, jadi kaedah yang dibuat ini tidak memberi keuntungan kepada pengguna," katanya mengenai kenaikan harga diesel sebanyak 3 sen seliter ekoran pengapungan itu.

Menurutnya, apabila harga minyak tidak stabil sekali gus akan mempengarui harga barang.

"Harga barang dinaikkan sekali ganda, tidak mungkin akan turun," katanya.

Pada 1 Disember lalu, kerajaan buat pertama kali menarik semula subsidi ke atas RON95 dan diesel dengan menggunakan kaedah pengapungan terkawal. Kaedah ini dilaksanakan berikutan harga minyak dunia jatuh kepada USD85 setong.

Bagaimanapun kerajaan telah membayangkan penjimatan antara RM10 bilion hingga RM20 bilion setahun apabila subsidi minyak tidak lagi disuntik. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: