Isnin, 1 Disember 2014

Pas Sempadan Format Buku Dilancar Hari Ini

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Pas Sempadan baharu yang akan dilancarkan Menteri Dalam Negeri sempena Hari Imigresen pada Isnin.
 
 
PETALING JAYA: Pas sempadan untuk kegunaan rakyat Malaysia yang berulang alik ke Thailand akan dilancarkan dalam format baharu berbentuk buku pada Isnin.

Pelancaran itu bakal disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan Hari Imigresen 2014 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya.
Acara itu juga akan disertai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Mustafa Ibrahim.

Mstar Online dalam laporan eksklusifnya pada Ogos lalu menyiarkan tentang pengeluaran pas sempadan Malaysia-Thailand dalam bentuk buku yang lebih berkualiti dan menyerupai pasport Malaysia, dijangka bermula September.

Dokumen perjalanan terhad ini bagi kegunaan penduduk tempatan khususnya di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak (hanya di bahagian Hulu Perak).

Pas sempadan sebelum ini dikeluarkan dalam bentuk sekeping kertas, yang mudah rosak akibat dilipat atau terkena air.

Jika pasport Malaysia yang merupakan dokumen perjalanan antarabangsa berwarna merah, pas sempadan baru ini pula akan berwarna biru.

Di kulit hadapan pas ini juga akan menyerupai seperti pasport, mempunyai lambang Jata Negara dengan perkataan “Malaysia” selain tertulis perkataan “Pas Sempadan” berwarna emas.

Mstar Online melaporkan bahawa penggunaan buku pas sempadan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti dan ciri keselamatan dokumen perjalanan sementara selain memudahkan pemeriksaan imigresen di pintu masuk sempadan.

Pembaharuan pada pas sempadan baharu ini turut dilengkapi dengan muka surat depannya mempunyai nombor bercirikan ‘Machine Readable Zone’ (MRZ) di mana ia tidak boleh dijadikan pendua (duplicate) untuk pemohon lain.

Ciri MRZ digunakan oleh kebanyakan pasport antarabangsa untuk pemeriksaan maklumat peribadi yang mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Selain pelancaran buku pas sempadan, Hari Imigresen 2014 yang disambut pada 1 Disember akan menyaksikan pelbagai aktiviti seperti hari bertemu pelanggan, karnival kerjaya dan pameran oleh vendor-vendor yang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

Antara lain ialah persembahan pancaragam, kawad senyap termasuk pertunjukan daripada Pasukan Kawalan Khas (PKK) dan Grup Taktikal Khas (GTK) Imigresen.

Tiada ulasan: