Jumaat, 5 Disember 2014

PAS desak Najib bertindak pertahan nilai ringgit

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Kejatuhan harga minyak mentah dunia turut menyumbang kepada kejatuhan nilai ringgit berdasarkan konsep permintaan dan penawaran, selain faktor sentimen dan persepsi di kalangan pelabur.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan sebagai negara tunggal dalam mengeksport minyak di seluruh Asia Tenggara, sentimen dan persepsi terhadap Malaysia akan jatuh, ditambah dengan hutang negara yang semakin membengkak.

"Apabila harga minyak mentah menjunam, hasil negara akan berkurangan selain hutang kerajaan yang bertambah. Maka ia akan menyebabkan persepsi dan sentimen terhadap negara jatuh apabila mereka mula menolak untuk berurusniaga dalam nilai ringgit," tegas beliau pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Begitu juga penggantungan nilai mata wang itu, katanya berdasarkan konsep permintaan dan penawaran yang jelas akan terjejas apabila tiada pihak yang mahu berurusniaga dengan Malaysia.

Katanya, sekiranya permintaan terhadap Ringgit Malaysia tinggi, maka nilai mata tinggi, dan begitu juga sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbuat sesuatu bagi memastikan nilai mata wang dipertahankan, selain mengawal perbelanjaan dan hutang negara agar tidak terus culas dan membarah.

Dalam pada itu, beliau berkata biarpun harga minyak mentah dunia terus menjunam, ia bukanlah satu petanda baik bagi Malaysia yang merupakan negara pengeluar minyak di Asia Tenggara.

Malah, kejatuhan harga minyak mentah dunia itu menyebabkan negara berisiko untuk kehilangan hasil negara, yang kini sudah mencecah RM25 bilion.

Dzulkefly menegaskan keadaan itu bertambah rumit dengan hutang kerajaan yang terus membengkak, di samping pelbagai keberantakan sosio-politik di garis etnik dan agama muktahir ini.

"Ketika orang ramai gembira dengan penurunan harga minyak mentah dunia itu, ia berbeza dengan Malaysia yang disifatkan sebagai negara pengeksport minyak, yang sudah tentunya akan memberi kesan rantaian ke atas hasil negara," kata beliau.

Sekalipun RON95 dan RON97 telah diturunkan, katanya rakyat tidak teruja dengan keadaan itu kerana harga diesel dinaikkan 3 sen ekoran kejatuhan minyak mentah dunia ke paras $68 se tong.

"Ramai sangsi bagaimana kira-kira dibuat tentang harga runcit, di mana pada penurunan minyak mentah 40 peratus sejak September lalu, dari $115 kepada $70, penurunan hanya pada takuk 1.7 peratus sahaja. Apakah dan bagaimanakah  apungan terkawal dilakukan kerajaan?" soal beliau.

Jelas Dzulkefly, harga runcit ditentukan oleh Mean of Platt Singapore (MOPS) yang memasukkan kos operasi sebanyak 9.54 sen, 5 sen keuntungan syarikat minyak, 12.19 sen keuntungan stesyen minyak dan 5 sen Alpha yang berperanan sebagai penimbal, yang kesemuanya berjumlah 31.77 sen.

Tambah Dzulkefly, jika dilihat kepada mekanisme MOPS ini, kerajaan dilihat memberi jaminan keuntungan kepada syarikat-syarikat dan stesyen-stesyen minyak, bagaimanapun tidak memberi jaminan kepada rakyat.

Sehubungan itu, tegas Dzulkefly sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia disarankan agar mewujudkan aras tanda tersendiri yang menandingi MOPS seperti Brunei dan Saudi.

Sudah sampai masanya, kata beliau Malaysia yang berkeupayaan untuk menapis sendiri minyak memikirkan tanda aras tersendiri bagi mengelak ketidaktelusan tentang hitungan MOPS itu sendiri.

"Kita telah lama menggunakan MOPS, sedangkan keupayaan negara menapis minyak dan gas sudah melebihi 30 tahun, dengan stesyen penapisan di Port Dickson, Melaka, dan Terengganu," tegas beliau.

Ekoran itu, beliau turut mencadangkan kerajaan untuk menetapkan harga siling bagi minyak, bersesuaian dengan harga pasaran semasa.

Kerajaan juga, tambah Dzulkefly diminta memberi keizinan kepada syarikat-syarikat minyak yang beroperasi hingga ke rantaian runcit supaya boleh bersaing antara satu sama lain.

"Pengusaha stesyen minyak boleh menawarkan harga yang lebih rendah dari harga siling, yang mana boleh dilihat diamalkan di negara maju lain. Dengan cara ini, ia membolehkan satu persaingan di antara penguasaha minyak, selain memberi banyak pilihan kepada pengguna," kata beliau.

Malah, Dzulkefly berkata langkah tersebut dilihat tidak menyalahi undang-undang dan boleh diamalkan di negara ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: