Khamis, 4 Disember 2014

Parti politik dianggap paling korup


Datuk Akhbar Satar Datuk Akhbar Satar
 
 
PETALING JAYA - Parti-parti politik di negara ini dianggap sebagai institusi yang paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam. 
 
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, ini berdasarkan tinjauan Barometer Rasuah Malaysia 2014 yang dilakukan badan itu ke atas 2,000 responden dari pelbagai lapisan masyarakat.
 
"Ramai yang memilih parti politik, menunjukkan mereka tidak percaya kepada institusi berkenaan. Malah, ini kali pertama parti politik berada di kedudukan teratas berbanding tahun lalu, (iaitu) di tangga kedua.
 
"Secara peribadi bagi saya, korup dalam parti politik ini kebiasaannya melibatkan pemberian kontrak, perniagaan, lesen ali baba dan seumpamanya. Jadi, sebagai ahli politik, sepatutnya mereka tunjukkan contoh yang baik,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014, di sini, semalam. 
 
Mengenai keputusan CPI, beliau juga tidak menolak faktor politik sebagai penyumbang markah terendah dalam penilaian lapan kriteria yang dijalankan di bawah CPI.
 
“Satu daripada kriteria ini melibatkan politik, jadi saya rasa kita terlalu banyak ‘politiking’. Mungkin itu kemungkinan kita dapat markah rendah. Jika kita memiliki kestabilan politik, kita akan dapat CPI yang baik,” katanya.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, TI-M turut mencadangkan satu pembaharuan dilakukan terhadap pembiayaan politik untuk parti-parti politik supaya lebih telus dan bertanggungjawab dalam menerima dan menggunakan sumbangan politik.
 
“Sumbangan politik sepatutnya disalur kepada akaun parti, bukannya individu. Semua sumbangan mestilah direkodkan dan diaudit bagi menunjukkan ketelusan.
 
“Saranan ini bukan saja untuk parti pemerintah, tetapi juga kepada parti pembangkang yang turut memerintah beberapa negeri. Parti daripada kedua-dua belah pihak perlu bekerjasama bagi memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.
 
Bagaimanapun, beliau berkata, secara keseluruhannya kedudukan Malaysia dalam CPI tahun ini masih berada dalam keadaan memuaskan.
 
Katanya, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan CPI ke tangga 50, berbanding 53 tahun lalu dan turut mencatat peningkatan markah daripada 50 ke 52.
 
Dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di kedudukan kedua di belakang Singapura yang menduduki tangga ketujuh keseluruhan.

Tiada ulasan: