Khamis, 18 Disember 2014

Operasi Pencarian MH370 Dijangka Berakhir Mei 2015


MSTAR ONLINE
 
 

PETALING JAYA: Misi pencarian pesawat syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di dasar laut dijangka berakhir pada Mei tahun hadapan. 

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata , sekiranya tidak berlaku kelewatan dengan kapal, peralatan mahupun cuaca, pencarian di dasar laut mungkin dapat selesai sepenuhnya menjelang Mei, 2015.

"Selain berusaha untuk menentukan lokasi pesawat, misi pencarian dalam air juga cuba mengesan serpihan pesawat MH370 dalam usaha mengenaplasti dan mengesan komponen pesawat secara spesifik termasuk perakam penerbangan kerana ia dapat membantu kerajaan Malaysia dalam menyiasat punca sebenar kejadian malang yang menimpa pesawat tersebut.

"ATSB akan menggunakapakai data yang diperolehi daripada kajian 'batymetric' yang dijalankan di kawasan pencarian untuk menyiapkan pelan perkara yang dilakukan dalam pencarian tersebut, agar ia dapat diikuti dan menjadi rujukan pihak yang terlibat.

"Pelan tersebut merangkumi masa carian, kaedah, prosedur, langkah keselamatan dan kawasan carian awal pelbagai kapal," kata biro berkenaan.


ATSB berkata, kapal GO Phoenix akan meneruskan misi pencarian dalam air, dan sehingga kini kawasan carian meliputi kira-kira 11,000 kilometer persegi di dasar laut telah berjaya diselesaikan.
Menurut ATSB pada Rabu, Fugro Equator menjangka dapat menyelesaikan kajian 'bathymetric' di kawasan carian.

"Kapal kajian 'batymetric' menghabiskan masa berbulan-bulan di laut, meneliti bahan yang terdapat di dasar laut dengan sonar berbilang alur dengan menggunakan himpunan data peleraian tinggi yang terperinci," tambah ATSB.

ATSB juga telah menerbitkan sebuah video di saluran YouTube bertajuk 'Bathmetry MH370 Search Area',  ia telah dicipta oleh pakar geosains Australia, dengan menggunakan data yang diperolehi daripada tinjauan yang dijalankan.

Video berkenaan turut memaparkan animasi komputer gambaran kawasan pencarian dasar laut di selatan Lautan Hindi.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Seramai 239 penumpang dan anak kapal berada dalam pesawat berkenaan ketika kejadian.

Lokasi terakhir pesawat berkenaan dikesan ialah selatan Lautan Hindi.

Tiada ulasan: