Sabtu, 13 Disember 2014

Najib perlu nyatakan pendirian mengenai ekonomi dunia

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menyatakan pandangannya bersabit kemerosotan ekonomi dunia masa kini.
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian Najib perlu agar rakyat tidak resah dengan perkembangan ini.
 
"Di manakah kepimpinan kita? Tidak pernah keluar satu kenyataan pun daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan mengenai keadaan ekonomi negara dan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan bebanan ekonomi lebih besar yang bakal mereka hadapi.
 
"Rakyat perlukan jawapan. Perdana menteri mesti bertindak segera dan jangan tangguhkan penjelasan," kata ketua pembangkang itu pada satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
 
Gesaan itu dibuat Anwar ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia dan ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (USD).
 
Malah, menurut Anwar apa yang lebih menakutkan ialah ekonomi dalam keadaan yang tidak dikemudi dengan baik manakala nakhodanya pula tidak kelihatan.
 
Ujar Anwar, tiada sebarang tindakan dilakukan dan sebaliknya pemimpin Umno-Barisan Nasional lebih gemar membuat penafian.
 
“Dengan keadaan sekarang, ‘sovereign rating’ negara pastinya akan menghadapi risiko penurunan taraf. Pertumbuhan ekonomi akan terjejas dengan penguncupan aktiviti ekonomi domestik. Kebanyakan perniagaan tempatan yang dimiliki bumiputera akan menghadapi cabaran hebat,” jelasnya.
 
Tambahnya lagi, Malaysia juga sedang menuju krisis ekonomi akibat pengurangan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dan juga penyusutan nilai ringgit kepada paras yang belum pernah dilihat semenjak krisis kewangan Asia 1997.
 
“Penyusutan nilai ringgit berbanding USD kepada hampir 3.5000 (1USD bersamaan 3.50 MYR), rakyat akan menghadapi masa hadapan yang kelam akibat kenaikan harga barang makanan, terutama sekali yang diimport. 90 peratus bahan makanan asas kita diimport," ujarnya.

Tiada ulasan: