Sabtu, 13 Disember 2014

MIC akan rayu keputusan ROS

MALAYSIAKINI


 


Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata parti itu akan merayu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung arahan agar ia mengadakan pemilihan semula 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga jawatan naib presiden.

Palanivel, yang pulang hari ini daripada melakukan lawatan rasmi ke Peru, berkata rayuan itu akan dikemukakan selepas beliau mengadakan mesyuarat dengan para pegawai tinggi MIC, jawatankuasa pemilihan dan peguam dalam tempoh 10 hari lagi.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejurus tiba di Sepang, Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata mesyuarat itu akan membincangkan "beberapa perkara tidak jelas" dalam surat ROS yang dihantar kepada setiausaha agung MIC, A. Prakash Rao, Jumaat lepas.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci tentang "perkara tidak jelas" itu yang akan dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan.

"Kami akan membincangkan perkara ini terlebih dahulu pada mesyuarat itu... dan membuat keputusan mengenainya. Saya tidak pasti tentang perkara yang dikatakan ROS itu. Kami (MIC) telah mengira kertas undi pada pemilihan di Melaka dan proses pengiraannya berjalan dengan baik di Melaka.

"Semua peti undi berada di bilik kami (pejabat MIC), dan tentunya ROS tidak akan campur tangan untuk mengira kertas undi berkenan. Oleh itu, biarlah kami bermesyuarat dahulu dan selepas itu kami akan tahu hasilnya sebelum kami boleh mengemukakan rayuan," kata beliau dalam nada ceria.

Palanivel melakukan lawatan kerja 12 hari ke Peru untuk menghadiri Persidangan Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

"Siasatan mengenai dakwaan wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan di Melaka tidak akan diadakan. Ini kerana kami sendiri yang mengira kertas undi sebanyak dua kali dan calon juga berpuas hati serta menerima keputusannya," kata beliau apabila ditanya sama ada MIC akan menyiasat dakwaan itu.

Beberapa penyokong Palanivel dari seluruh negara menunggu kepulangan beliau di luar bilik orang kenamaan di Aras 5 KLIA sambil memegang sepanduk.

Selepas sidang media, Palanivel bersalaman dan berbual dengan penyokongnya sebelum beredar dari KLIA.- Bernama

Tiada ulasan: