Khamis, 18 Disember 2014

MEDM bekerjasama dengan bilik gerakan banjir

ANIS NAZRI


 

KUALA LUMPUR: Malaysian Emergency Disaster Management (MEDM) sedang giat bekerjasama dengan bilik-bilik gerakan banjir yang dibuka di Kelantan untuk mengusahakan bantuan yang diperlukan mangsa banjir.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub berkata beberapa bentuk bantuan seperti peralatan komunikasi, pasukan radio amatur, tenaga agensi MEDM sudah dikerahkan ke Kelantan sejak dua hari lalu.

"Kita mengusahakan pelbagai bentuk bantuan, termasuk kewangan dalam menguruskan bencana ini di Kelantan dengan kira-kira 20 hingga 30 anggota tenaga dikerahkan," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, dengan segala bantuan dan peralatan komunikasi, kerja-kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir boleh dilakukan semaksimum mungkin.

MEDM, sebuah badan task force yang dilancarkan PAS pada muktamar lalu bertindak sebagai  pasukan khas untuk memberi bantuan bagi kemalangan dan bencana alam, yang menggabungkan pelbagai NGO seperti Yayasan Amal dan Unit Amal PAS.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengarahkan semua Jabatan Negeri dan Persekutuan agar turun membantu mangsa-mangsa banjir di semua lokasi pemindahan.

Beliau juga mengharapkan agar mangsa banjir dapat bersabar di atas ujian Allah ini dan yakinlah bahawa setiap ujian serta musibah itu adalah cara Allah mengangkat martabat hambaNya.

"Berhati-hatilah di musim ini dengan menjaga anak-anak kecil sebaiknya,termasuk memaklumkan dalam kadar segera kepada pihak berwajib jika berlaku apa jua kemalangan jiwa," kata beliau. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: