Sabtu, 13 Disember 2014

MB: “Pusat beli projek punca PR1MA mahal, berbeza Selangor bina sendiri”

Oleh: NAZLI IBRAHIM


BANDAR BARU BANGI: Projek perumahan rumah mampu milik di Selangor lebih murah berbanding Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) berikutan projek perumahan itu dibina sendiri anak syarikat Kerajaan Selangor dan pemaju lain terlibat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, ini berbeza amalan Kerajaan Pusat membeli projek perumahan syarikat pemaju tertentu menyebabkan harga rumah mampu milik di bawah skim PR1MA tidak kompetetif dan mahal.

MB Hulu Langat


“Mereka sasar 80,000 unit rumah PR1MA, mana dia? Tidak ada. Apa yang mereka buat, mereka beli projek, bukan bina projek oleh PR1MA.

“Bila dibeli dari sektor komersial mereka tidak dapat beri harga mampu milik. Maka Kerajaan Negeri perlu ambil peranan.

“Bila kita bina rumah, ini mewujudkan aktiviti ekonomi melibatkan 27 industri lain, perbankan, simen, besi dan yang lainnya menjana pertumbuhan ekonomi,” kata Mohamed Azmin dalam Program Turun Padang Menteri Besar Selangor ke Daerah Hulu Langat, hari ini.

Jelas beliau, pemaju yang mengambil bahagian dalam menjayakan sasaran pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik turut diberikan insentif.

Insentif itu seperti premium tanah dan caj pembangunan yang dikurangkan sekaligus membolehkan rumah disiapkan boleh dijual pada harga mampu milik.

“Beberapa pemaju dah beri komitmen bina rumah mampu milik dalam tempoh ditetapkan tetapi mesti mereka memohon kebenaran merancang pada 2015 dan kita ada ‘fast track’ untuk luluskan,” kata Azmin lagi.

Sementara itu dalam program lawatan seharinya ke Daerah Hulu Langat, Mohamed Azmin sempat meninjau beberapa lokasi bermasalah sekitar daerah terbabit.

Antaranya termasuk, kawasan Pasar Kajang yang berhadapan isu banjir dan Kampung Batu 10 yang berhadapan isu penempatan di atas tanah rizab jalan.EZY

Tiada ulasan: