SHANGHAI - CHINA. Malaysia mahu mencontohi elemen-elemen yang diamalkan dalam sistem pendidikan Shanghai untuk melahirkan pelajar cemerlang termasuk bagi Program untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu.
  
Timbalan perdana menteri yang juga menteri pendidikan berkata Malaysia berminat untuk menerima pakai beberapa formula kejayaan dari Shanghai yang mendapat tempat teratas dalam PISA bagi pelajarnya yang cemerlang dalam matematik,sains dan bacaan.
  
“Kami mahu tahu bagaimana mereka boleh berjaya. Kami akan teliti keseluruhan sistem pembelajaran dan pengajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat oleh Pengarah PISA pasukan China, Zhang Minxuan di Shanghai Normal University, di sini.
  
Setakat ini beliau berkata kementerian itu akan menghantar pasukan pakarnya ke universiti berkenaan untuk mengkaji perkara itu.
  
Formula kejayaan mereka seperti satu sesi persekolahan, kurang kerja rumah dan kurang tuisyen patut diberikan pertimbangan yang wajar," katanya. - Bernama