Ahad, 14 Disember 2014

Lebih 5,000 muka surat Laporan RCI Sabah ‘hilang’

lks (3)

Roketkini.com.


KOTA KINABALU: ‘Lebih 5,000 muka surat hilang’ daripada laporan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja RCI mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang dikeluarkan Kerajaan pada 3 Disember, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ujar Kit Siang, RCI Sabah sepatutnya menjadi laporan paling tebal dan paling banyak jilid berbanding laporan RCI lain, malangnya hanya setebal 368 muka surat.

“Dimana semua memorandum, nota-nota keterangan, akuan-akuan bersumpah dan eksibit dikemukakan kepada RCI?

“Saya difahamkan ia melebihi 5,000 mukasurat, yang merupakan bahagian penting laporan tersebut,’ kata Kit Siang dalam forum mengenai RCI Sabah di Hotel Palace, Kota Kinabalu semalam.

Beliau membandingkan Laporan RCI video skandal peguam Lingam yang mempunyai empat jilid dengan yang pertama berjumlah 191 mukasurat, nota-nota keterangan berjumlah 1,187 muka surat (Jilid 2), 513 mukasurat bagi Akuan Bersumpah (Jilid 3) dan 474 mukasurat eksibit (Jilid 4) dengan jumlah keseluruhan 2,365 mukasurat.

 Manakala RCI Sabah menerima 361 memorandum dan 177 eksibit, mengadakan pendengaran awam bermula 14 Januari sehingga September 2013 dengan 211 saksi.

 Justeru itu Kit Siang hairan apabila kerajaan mengeluarkan kurang 10 peratus daripada laporan sebenar RCI Sabah, sedangkan RCI video skandal Lingam mengandungi lebih 2,300 mukasurat dengan mengemukakan semua nota-nota keterangan, akuan bersumpah dan eksibit.

“Ini seharusnya menjadi tugas pertama (pengerusi) jawatankuasa kerja RCI Sabah (Tan Seri) Joseph Pairin.

“Adakah Pairin bersedia menyatakan pendirian bahawa keseluruhan laporan RCII  Sabah setebal lebih 5,000 mukasurat itu mesti didedahkan segera kepada orang ramai? soal Kit Siang.

Dalam pada itu kata Kit Siang, beliau hairan apabila status ‘Diraja’ RCII Sabah digugurkan, kerana muka hadapan buku laporan tersebut sekadar menyatakan ‘Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah’.

“Kenapa tiba-tiba kerajaan membuang status ‘Diraja’ laporan RCI Sabah dan tidak mencetaknya dengan jelas di kulit naskah laporan itu bahawa ia adalah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah?

“Tambahan, kenapa tidak ada tandatangan para pesuruhjaya pada laporan itu, malah tidak ada kata-kata aluan pun oleh pengerusi RCI Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, sedangkan ada pendahuluan oleh pengerusi RCI (penambahbaikan) Polis oleh Tun Dzaiddin di laporan RCI-nya? soal Kit Siang.

Tambahnya sehingga hari ini Dewan Undangan Negeri Sabah belum mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan hasil laporan RCI sekiranya benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah 40 tahun pendatang tanpa izin di negeri ini.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya berada di Kota Kinabalu bagi melancarkan laporan RCI untuk menunjukkan beliau serius terhadap hasil laporan tersebut.

“Malangnya Najib menghilangkan diri dan memberikan tugas itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com.

Tiada ulasan: