Datuk Seri Jamil Khir Baharom Datuk Seri Jamil Khir Baharom
 
 
KUALA LUMPUR - Kuota jemaah haji dari Malaysia bagi musim 1436 Hijrah tahun depan kekal pada 22,320 orang berikutan kerja-kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram di Makkah masih belum selesai.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pada Oktober lepas, kerajaan Arab Saudi mengumumkan ia masih menguatkuasakan pemotongan kuota jemaah haji sebanyak 20 peratus bagi setiap negara untuk musim haji tahun depan.
  
Peraturan itu dijangka kekal sehingga kerja-kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram selesai pada 2016, katanya pada majlis kesyukuran tamat operasi haji 1435H Lembaga Tabung Haji (TH) di sini, hari ini.
  
Beliau berkata, kerajaan Malaysia bagaimanapun akan memohon kepada kerajaan Arab Saudi bagi menambah bilangan jemaah haji dari negara ini kerana senarai menunggu bagi menunaikan ibadah haji semakin panjang.
  
Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota 0.1 peratus daripada populasi setiap negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk Malaysia untuk menunaikan ibadah haji setiap tahun, dan pada 2009, seramai 27,900 jemaah haji dari Malaysia telah mengerjakan haji.

Namun, sejak projek pembesaran dan pembangunan Masjidil Haram, jumlah jemaah haji dikurangkan sebanyak 20 peratus kepada 22,320 sejak 2013.
  
Jumlah umat Islam Malaysia yang mendaftar untuk menunaikan haji ialah 1.5 juta orang setakat Mei lepas. - Bernama