Datuk Seri Abdul Wahid Omar Datuk Seri Abdul Wahid Omar
 
 
KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd mempunyai hak untuk melantik Christoph R. Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi menerajui Malaysia Airlines (MAS) kerana ia yang menyuntik pelaburan RM6 bilion bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, pelan 12 perkara pemulihan MAS yang digariskan cabang pemegang pelaburan kerajaan itu secara jelas menunjukkan keperluan tokoh yang mempunyai kemahiran diperlukan bagi membantu MAS mencatat keuntungan.

"Kami serahkan kepada Khazanah memilih tokoh terbaik yang mereka fikir mampu menerajui pemulihan MAS.

"Lagi pun di segi akauntabiliti, tanggungjawab untuk menjadikan ia berjaya telah diberikan kepada Khazanah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skim Latihan 1Malaysia Celcom di sini.

Jumaat lepas Khazanah menamakan Mueller sebagai CEO syarikat MAS baharu serta sebagai Pengarah Bukan Eksekutif di Lembaga Pengarah MAS berkuatkuasa 1 Januari 2015.

Pengumuman itu tidak diterima baik sesetengah pihak yang meluahkan kekecewaan mereka berhubungan keputusan Khazanah itu.

Abdul Wahid berkata, Khazanah perlu diberi peluang memilih calon yang boleh menjadikan pelan penstrukturan semula itu berjaya, termasuk pengurusannya.

Mueller kini CEO Aer Lingus Plc, syarikat penerbangan nasional Ireland.

Kontraknya dengan Aer Lingus tamat 1 Mei tahun depan.

Datuk Seri Shazalli Ramly, CEO dan Pengarah Celcom Axiata Bhd juga akan dilantik menganggotai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif berkuatkuasa 1 Januari 2015.- Bernama