Rabu, 3 Disember 2014

Khairy, anda amat mengecewakan!

Oleh Ng Kee Seng


Apa yang baru dalam perhimpunan agung Umno yang tamat baru-baru ini? Ia masih mengesahkan sikap dinosaur Umno. Ahli-ahli dan pemimpinnya enggan berubah mengikut masa. Bagi mereka, politik masih lagi melibatkan ketuanan bangsa dan agama. Bukannya mengenai perpaduan negara dan 1Malaysia, dan bukan mengenai rakyat Malaysia.

Tidak kira sama ada pemimpin berpendidikan luar atau dalam negara. Ini kerana mereka semua menyanyikan lagu yang sama untuk mendapatkan sokongan dan naungan Umno bagi menyatukan kuasa politik, atau untuk memanjat tangga parti bagi menuai peluang atau ganjaran. 

Ia melibatkan usaha menghasut kebencian terhadap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan bagi mendapatkan kelebihan politik. Dan itu bukannya bersifat menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 yang akan dikekalkan, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan undang-undang Inggeris lapuk itu dua tahun lalu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. 

Namun pemimpin yang paling mengecewakan dalam perhimpunan itu bukannya Najib, presiden Umno, yang tidak mempunyai "idea" dan sekali lagi membangkitkan momok rusuhan kaum 13 Mei dalam usahanya untuk menyatukan rakyat Malaysia di bawah kerajaan BN.

Tidak, ia bukannya Najib. Ia adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Penyokong Pakatan Rakyat yang tidak-begitu-setia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, yang menaruh harapan ke atas Khairy untuk melaksanakan perubahan dalam Umno, mesti telah kecewa. 

Hanya kerana dia berpendidikan Oxford, ia tidak memberikannya hak untuk memandang rendah intelek rakyat Malaysia.

Mungkin Khairy telah keliru sejenak apabila beliau mengucapkan yang berikut:
  • Malaysia akan "hancur" jika kuasa yang dikurniakan kepada pihak berkuasa oleh Akta Hasutan dimansuhkan; dan
  • Orang Melayu sedang diancam dan masa bersabar telah tamat.
Rakyat Malaysia mesti tertanya-tanya sama ada dia telah diberikan syarahan mengenai kebebasan bersuara dan hasutan, sewaktu beliau berada di Oxford.

Ya, kebebasan bersuara boleh dieksploitasi atau disalahgunakan, tetapi sudah ada undang-undang yang mencukupi bagi mereka yang melakukan fitnah. Tidak ada keperluan bagi Akta Hasutan lapuk yang terdedah kepada penyalahgunaan bagi menutup mulut pengkritik-pengkritik dan suara rakyat Malaysia.

Dan bagi kenyataan sampah "Melayu sedang diancam..." beliau, apa maksudnya yang orang Melayu berada di bawah pengepungan? Siapa yang mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu?

Adakah rakyat Malaysia bukan Melayu gagal mematuhi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan?

Mungkin Khairy perlu diingatkan bahawa Artikel 153 menyatakan dengan jelas kedudukan istimewa orang Melayu, bukannya hak istimewa orang Melayu. 

Sandiwara Khairy pada perhimpunan itu menunjukkan yang beliau tidak berbeza dengan pemimpin-pemimpin Umno dahulu dan sekarang.

Pendidikan Oxford yang beliau terima, telah gagal untuk memupuknya sebagai seorang pemimpin yang mampu untuk berfikir di luar kotak.

Atau mungkin dia hanyalah seorang lagi ahli politik biasa yang tidak mempunyai keberanian untuk menggoncangkan keadaan politik semasa, untuk memulakan perubahan sebagai seorang menteri.

Tindakan Khairy menggunakan isu-isu kaum dan agama, dan tidak menyampaikan prinsip perpaduan sebenar negara dan 1Malaysia, menunjukkan yang beliau tidak boleh dipercayai, sama seperti pemimpin-pemimpin Umno lain yang tidak ikhlas, yang terus mengekalkan politik kebencian.

Khairy perlu memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan dan kesaksamaan bagi memenangi hati dan minda semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan "buta warna". Ataupun dia harus berjuang menentang rasuah.

Adakah ucapannya menyentuh mengenai pelampau kaum dan agama? Tidak! 

Malangnya, Oxford gagal untuk mengajarnya mengenai semua itu. 

Jadi apakah hala tuju rakyat Malaysia dan Malaysia kini? Adakah "perniagaan akan berjalan seperti biasa", rungutan seperti biasa dan tiada perubahan dalam PRU14? 

Kini semuanya bergantung kepada majoriti rakyat Malaysia, terutamanya pengundi-pengundi luar bandar, warga Sabah dan Sarawak. Anda berhak mendapat ahli-ahli politik dan kerajaan yang telah anda undi.

Tiada ulasan: