Ahad, 7 Disember 2014

Kes penghakiman ingkar Hadi diputuskan 15 Dis

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu menetapkan 15 Dis ini untuk keputusan permohonan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas pihak plaintif Mohd Shamsul dan defendan menamatkan penghujahan terakhir, kata peguam plaintif, A. Vasudevan kepada pemberita selepas sesi prosiding hari ini.

Pada prosiding itu, saksi plaintif, Luqman Ridhwan Mohd Nor, 26, daripada akhbar Kosmo, memberi keterangan manakala Abdul Hadi, selaku defendan, diwakili peguam Asmuni Awi.

Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, bagaimanapun kira-kira 200 penyokong presiden itu hadir di perkarangan mahkamah.

Pada 28 Okt lalu, Abdul Hadi dan ADUN Alur Limbat, Ariffin Deraman memberi keterangan sebagai saksi defendan manakala plaintif memanggil saksi iaitu ADUN Bandar, Azan Ismail dan wakil akhbar Kosmo bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun wakil akhbar Kosmo tersebut tidak hadir sebanyak dua kali memberi keterangan (28 Okt dan 23 Nov) sungguhpun waran tangkap telah dikeluarkan, tetapi waran tangkap itu tidak dapat dilaksanakan.

Pada 23 Feb lepas, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Dis tahun lepas.

Pada 27 Feb lepas, Abdul Hadi memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.

Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - Bernama

Tiada ulasan: