Khamis, 4 Disember 2014

Kerajaan tak perlu sembunyi kadar kemiskinan – Nurul Izzah

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan tidak menyembunyikan kadar kemiskinan yang disifatkan sebagai amat serius di Malaysia.

Berdasarkan laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013  oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan bilangan kemiskinan relatif di negara ini meningkat sejak 2007, katanya.

Nurul-Izzah1“Kerajaan perlu bersikap jujur dan ikhlas untuk mengakui kebenaran bagi menyelesaikan isu kemiskinan yang sering diabaikan dan tidak ditangani dengan sewajarnya.

“Umno juga mendakwa mereka berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar kurang 1 peratus daripada 60 peratus sebelum merdeka, tetapi laporan daripada UNDP mempunyai cerita berbeza,” ujar Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Berdasarkan laporan UNDP, satu daripada lima isi rumah (20%) masih dianggap miskin relatif bagi tahun 2012 yang jelas menunjukkan tahap kemiskinan masih membelenggu negara.

Sebelum ini, Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Denison Jayasooria turut mahukan garis kemiskinan di Malaysia dirombak semula.

Ia katanya bagi mendapatkan angka yang lebih realistik terutamanya masalah kemiskinan bandar yang terus menghimpit kalangan anak muda dan mereka yang mula berkeluarga serta tinggal di bandar-bandar besar.

Menurut Izzah, kerajaan perlu menggunakan kaedah alternatif yang  diterima di seluruh dunia, iaitu ukuran kemiskinan relatif atau menggunakan indeks kemiskinan multidimensi.

Katanya, jumlah hutang isi rumah dengan pendapatan boleh guna berada pada paras 140 peratus atau 86.8 peratus daripada KDNK yang menjurus kepada peringkat yang amat membimbangkan negara.

Selain itu, katanya kos sara hidup rakyat turut akan meningkat dengan perlaksanaan GST nanti dengan majoriti rakyat negara ini masih berpendapatan rendah memandangkan hanya 14 peratus daripada pekerja yang layak untuk untuk membayar cukai pada tahun 2013.

“Isu kemiskinan mungkin telah diabaikan dalam Perhimpunan Agung Umno. Kesilapan yang sama dalam pentadbiran tidak perlu diulang berkali-kali” ujarnya.

Tiada ulasan: