Jumaat, 12 Disember 2014

Kerajaan digesa dedah kerjasama dengan CIA

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- NGO Lawyers For Liberty (LFL) menyeru kerajaan Malaysia mendedahkan kerjasama dengan Agensi Risikan Pusat (CIA) atau pihak berkuasa asing yang lain.

Ini berikutan laporan dari Open Society Justice Initiative, yang mendakwa satu pasangan dari Libya ditangkap selama 13 hari dalam keadaan diseksa, sebelum mereka dihantar ke Thailand.

ERIC_PAULSEN Eksekutif Lawyers For Liberty (LFL), Eric Paulsen berkata, LFL amat bimbang dengan kemungkinan penglibatan Malaysia dalam program CIA yang mendera suspek dalam tahanan seperti didedahkan Jawatankuasa Perisikan Senat Amerika Syarikat, Selasa lepas.

Eric berkata penangkapan itu seolah-olah dilakukan atas arahan CIA atau pihak berkuasa asing lain.

“Jika ini adalah benar, ia adalah satu perkara yang sangat membimbangkan apabila pihak berkuasa Malaysia mempunyai kuasa menahan warga asing sewenang-wenangnya dan secara rahsia seolah-olah mereka melakukan kesalahan jenayah di negara ini.

“Penangkapan dan penahanan seolah-olah dilakukan tanpa asas undang-undang dan beroperasi di luar Perlembagaan Malaysia dan perlindungan undang-undang lain termasuk akses kepada penasihat undang-undang atau pendengaran oleh seorang Majistret dalam reman,” katanya dalam satu kenyataan media

Katanya lagi, LFL turut menyeru kerajaan Malaysia menghentikan tindakan tersebut dan proses penahanan warga asing perlu dilakukan mengikut undang-undang Malaysia dan antarabangsa.

Tiada ulasan: