Sabtu, 13 Disember 2014

Kakitangan Bernama TV tiada duit untuk datang kerja

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 kakitangan Bernama TV (BTV) kembali bercuti lagi semalam - dua hari selepas mereka dibayar RM500 tunggakan gaji bagi bulan November.

Dalam surat yang dilihat oleh Malaysiakini, kakitangan itu berkata mereka "tidak mampu untuk datang bekerja" kerana masalah kewangan, lapor Malaysiakini.
 
Mereka bercuti mulai 10 Disember sehingga gaji penuh dibayar oleh Bernama TV Synergy.
 
Sebelum ini, mereka bercuti sepanjang minggu lepas apabila tidak menerima gaji bagi bulan November selepas kali terakhir menerima gaji penuh pada 20 Oktober.
 
Kakitangan mendakwa bahawa pengurusan atasan mengingatkan mereka bahawa mengambil cuti akan menjejaskan peluang mereka untuk diserap oleh Bernama, tetapi pengurus besar agensi berita nasional itu, Datuk Zulkefli Salleh menafikannya.
 
"Tidak," kata Zulkefli ketika dihubungi, sambil menambah bahawa tindakan disiplin tidak akan diambil kerana Bernama "memahami kesusahan (kakitangan BTV itu)."
 
Sumber-sumber dalam BTV mendedahkan bahawa Zulkefli akan mengadakan pertemuan ringkas dengan kakitangan berkenaan lewat hari ini.
 
Sementara itu, seorang bekas kakitangan yang bekerja di BTV lebih empat tahun, menyalahkan fokus stesen itu terhadap berita yang pro-BN bagi masalah kewangannya.
 
"BTV harus berhenti membuat laporan yang pro-BN saja sebab, takde hasil pun. Kalau BN nak, bayarlah!" katanya kepada Malaysiakini.
 
BTV mesti memberi perhatian terhadap penjanaan pendapatan, katanya yang enggan namanya disiarkan.

Tiada ulasan: