Jumaat, 12 Disember 2014

JK khas untuk banteras rumpai miang Mexico

MALAYSIAKINI

 
 
Jabatan Pertanian mewujudkan dan menggerakkan jawatankuasa bertindak bagi membendung dan menghapuskan rumpai miang Mexico di negara ini yang berisiko memberi kesan kepada kesihatan manusia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek. 
 
Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Teknikal, Kawalan, Pembendungan dan Penghapusan itu telah dimaklumkan kepada semua jabatan pertanian negeri dan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan sewajarnya. 
 
Sebanyak 28.28 hektar kawasan di seluruh negara dikesan dengan tumbuhan itu atau 'parthenium hysterophorus' sehingga kini, katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
 
Daerah terlibat ialah Hulu Selangor (0.7 hektar); Kinta, Hulu Perak, Selama, Perak Tengah, Manjung dan Kuala Kangsar di Perak (lapan hektar); Kuala Muda dan Kota Setar di Kedah (13 hektar); Seremban dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan (5.6 hektar); Alor Gajah di Melaka (0.08 hektar) dan Segamat di Johor (0.9 hektar), katanya. 
 
"Rumpai miang ini mudah merebak dengan cepat kerana ia boleh menghasilkan biji benih yang banyak iaitu 100,000 biji untuk satu pusingan dan boleh kekal dalam tanah sehingga beberapa tahun," katanya. 
 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam dilaporkan berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia yang mempunyai reaksi alahan.
 
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.
 
Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.
 
Ahmad Zakaria berkata tumbuhan itu dipercayai merebak melalui bijirin, jerami, biji benih, kenderaan dan juga jentera yang dicemari biji benih rumpai miang dan mungkin juga melalui haiwan ternakan import.
 
Beliau berkata perbincangan dan mesyuarat dengan pakar pelbagai bidang termasuk dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan dilakukan bagi merangka cara kawalan yang lebih komprehensif.
 
Beliau berkata antara langkah untuk membendung dan menghapuskan rumpai miang itu ialah menggunakan sarung tangan dan pakaian bersesuaian untuk mencabut serta memusnahkan rumpai pada peringkat awal pertumbuhan sebelum ia berbunga.
 
Kawalan secara kimia juga boleh dilaksanakan menggunakan racun rumpai yang mempunyai bahan aktif seperti glyphosate, atrazine atau metribuzin.
 
Namun ini perlu dilakukan secara berhati-hati khususnya jika rumpai itu tumbuh berhampiran kawasan penempatan manusia, katanya.- Bernama

Tiada ulasan: