Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha menaik taraf prasarana tersebut.

Katanya, daripada 729 sekolah di seluruh Kedah, sebanyak 519 sekolah mempunyai kemudahan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan empat megabit.

“Pelajar dari tahun empat sehingga tingkatan lima di semua sekolah termasuk sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan akan mendapat manfaat daripada program ini. Namun masih ada sekolah yang tidak ada jalur lebar berkelajuan empat megabit.

“Saya sudah berhubung dengan SKMM yang berjanji akan beri tumpuan untuk menyelesaikan perkara ini. Kita tidak mahu ada jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Mulai tahun depan apabila sesi persekolahan baharu bermula, perkhidmatan tuisyen percuma ini akan disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan persekolahan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Wisma Jerlun di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi menjayakan program tersebut guru-guru sekolah akan menjalani kursus berkaitan sistem berkenaan tidak lama lagi.

“Kita perkenalkan sistem ini bukan untuk membebankan guru tetapi meringankan beban mereka. Selain itu kita juga akan libatkan ibu bapa dalam program ini,” katanya.