Isnin, 8 Disember 2014

Isu PERMATA: Jumpa di mahkamah, kata ADUN

MALAYSIAKINI


 


“Jumpa di mahkamah.”

Begitu kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan Haniza Talha selepas memberi kenyataan di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya terhadap siasatan menghasut hari ini.

Beliau dipanggil untuk soal siasat selepas mengkritik peruntukan belanjawan kepada program asuhan dan didikan awal kanak-kanak PERMATA hasil cetusan idea isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Ditemani peguam G Sivamalar, Haniza berkata, beliau tidak menjawab soalan yang diajukan kerana merasakannya suatu “perangkap”.

“Saya beritahu dia (pegawai penyiasat) saya hanya akan jawab soalan atau beri maklumat lanjut di mahkamah,” katanya kepada pemberita di luar IPD itu.

Haniza, timbalan ketua Wanita PKR, dipanggil polis setelah dua laporan dibuat terhadapnya ekoran artikel di laman web parti itu yang dikatakan berunsur hasutan.

Artikel dirujuk itu berbunyi “Subsidi dipotong demi Permata Rosmah RM711 juta” yang mana Haniza dilaporkan mempersoalkan peruntukan itu sedangkan kerajaan sudah mempunyai program prasekolah.

Tiada ulasan: