Selasa, 2 Disember 2014

Formula pengiraan harga minyak akan diumumkan nanti - Hasan Malek

Formula pengiraan harga minyak akan diumumkan nanti - Hasan Malek

HASAN: Pengiraannya agak rumit tetapi saya faham bahawa orang ramai perlu tahu bagaimana 

harga tersebut diperolehi. 



KUALA LUMPUR: Formula yang digunakan untuk mengira harga diesel dan RON95 akan diumumkan tidak lama lagi dalam versi yang telah dipermudahkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata, versi pengiraan formula tersebut akan dimuat naik di laman web kementerian itu bagi membuat pengiraan harga petrol RON95 dan diesel untuk orang ramai.

Katanya, pengiraannya agak rumit tetapi beliau faham bahawa orang ramai perlu tahu bagaimana harga tersebut diperolehi.

“Saya sudah arahkan KSU (Ketua Setiausaha) saya. Kalau perlu, esok, KSU akan membuat satu siding media untuk menerangkan bagaimana pengurusannya untuk mendapatkan jumlah turun dan naik.

“Penerangan ini melibatkan teknikal dan kita tidak perlu risau tentang teknikal ini. Yang penting, rakyat tahu ini sesuatu yang kita buat yang terbaik untuk rakyat… kalau ada kenaikan pun ia kerana ‘production cost’ (kos pengeluaran) itu begitu tinggi,” kata Hasan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa pelancaran kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan kempen Kembali Ke Sekolah yang diadakan di AEON AU2 di Setiawangsa, Selasa.

Hasan berkata, beliau akan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu dan kemudian akan memasukkan versi pengiraan yang telah dipermudahkan itu di laman web kementerian.

Beliau juga berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan minyak setakat ini mencukupi dan tiada kes yang melibatkan pemilik petrol pam menyorok stok minyak.

Sebelum ini, Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa harga baru tanpa subsidi bagi RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Dis lalu menunjukkan perbezaan yang begitu ketara dengan harga pasaran.

Katanya, keadaan ini berpunca dari kaedah penentuan harga yang tidak telus dan memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak.

Tiada ulasan: