Jumaat, 5 Disember 2014

Dua lelaki menyamar anggota polis dicekup

MALAYSIAKINI


Dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan terbabit dalam kes samun, gagal melarikan diri apabila ditahan di Kampung Kurnia, Sungai Raya dekat Simpang Pulai di Ipoh semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, polis melepaskan tiga das tembakan amaran terhadap kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu selepas mereka bertindak melanggar kereta peronda polis (MPV) ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Simpang Pulai.
  
Katanya sebelum itu polis berjaya mengesan kenderaan jenis Toyota Camry yang dinaiki suspek di kawasan sekitar Ipoh selepas menerima maklumat dan mengejar kenderaan tersebut hingga ke Simpang Pulai.
  
"Sebanyak lapan buah MPV mengejar kenderaan suspek. Semasa berhenti di lampu isyarat di Simpang Pulai, kenderaan suspek cuba melanggar kenderaan polis selain turut melanggar dua buah kenderaan awam," katanya kepada pemberita di Ipoh semalam.

Polis kemudian mengejar hingga ke Kampung Kurnia sebelum kenderaan suspek terbabas di gelanggang sukan serbaguna di kampung tersebut, katanya.
  
Sum berkata kedua-dua suspek cuba melarikan diri di ladang kelapa sawitberhampiran kampung itu namun gagal selepas ditahan polis.

Katanya kedua-dua suspek itu melakukan tujuh kes samun termasuk dua kes menyamar sebagai anggota polis di sekitar kawasan Menglembu di Ipoh sejak awal pagi semalam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan suspek milik kedutaan Turki yang dilaporkan hilang di sebuah stesen minyak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Oktober lepas.
  
"Hasil pemeriksaan polis turut menemui dua bilah parang dalam kenderaan tersebut," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: