Selasa, 9 Disember 2014

Azmin kesal Shamsudin letak jawatan ketua pembangkang

 
Jawatan Ketua Pembangkang merupakan jawatan penting dalam pengurusan negeri sebagai penyemak imbang(check and balance) kepada Kerajaan Negeri


azmin ali01KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmi Ali kesal dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias yang meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kira–kira Wang Awam (PAC) Negeri.

Menurutnya, jawatan Ketua Pembangkang merupakan jawatan penting dalam pengurusan negeri sebagai penyemak imbang kepada Kerajaan Negeri dan ia seharusnya dimanfaatkan bagi memberi keadilan kepada rakyat.

“Langkah Kerajaan Negeri memberikan pengiktirafan terhadap jawatan Ketua Pembangkang adalah usaha untuk memantapkan demokrasi matang di Malaysia yang mengambil sistem ala ‘Westminster’ di mana peranan pembangkang dalam pentadbiran tidak dipandang serong atau dianaktirikan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan kemudahan bagi mereka menjalankan tugas.

Justeru, pentadbiran Kerajaan Negeri berpendirian Ketua Pembangkang Selangor sewajarnya mempengerusikan PAC Negeri dan menerima kemudahan yang setimpal dengan tanggungjawab yang digalas. Tujuannya, tambah belau adalah untuk meningkatkan lagi keberkesanan sistem demokrasi di negeri tersebut.

“Bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada penglibatan ADUN–ADUN Pembangkang lain yang aktif dalam jawatankuasa–jawatankuasa Pilihan Dewan Negeri Selangor yang lain dan memainkan tanggungjawab mereka.

Semalam, ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuatnya kerana beliau enggan menerima pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor.

Mohd Shamsudin berkata, keputusan itu adalah atas pilihannya sendiri, atas prinsip integriti dan tidak mahu menjadi boneka.

Beliau berbuat demikian kerana mendakwa sikap berat sebelah pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan komposisi anggota jawatankuasa PAC, yang dimonopoli oleh ADUN Pakatan Rakyat.

Jelasnya, langkah kerajaan negeri yang meletak seorang ADUN BN berbanding empat ADUN Pakatan dalam PAC, sekali gus memperlihatkan tiadanya keseimbangan.

Mohd Shamsudin berkata, memandangkan Pindaan Peraturan Tetap 68 (1) DUN Selangor mewajibkan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi PAC, maka beliau tiada pilihan selain melepaskan jawatan berkenaan.

Susulan itu, semua kemudahan pentadbiran termasuk sebuah kereta rasmi bagi kegunaannya sebagai Ketua Pembangkang, dipulangkan semula.

Surat peletakan jawatan Mohd Shamsudin diserahkan kepada Pejabat Speaker DUN.

Mohd Shamsudin turut memberitahu keputusan itu telah dimaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Senarai calon baru Ketua Pembangkang DUN belum dibincangkan masa ini.

Tiada ulasan: