Jumaat, 12 Disember 2014

Azizah umum Ketua Penerangan, Pengerusi Lembaga Disiplin

Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Presiden Gerakan Mansuh ISA (GMI) Tuan Syed Ibrahim Syed Noh diumum sebagai Ketua Penerangan KEADILAN yang baru apabila bekas penyandangnya, Dr Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama KEADILAN.

Azizah PC


Perlantikan Syed Ibrahim diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media di ibu pejabat parti pada Rabu.

“Beliau merupakan aktivis veteran yang pernah berkhidmat dalam NGO islam, perlantikan beliau merupakan sebahagian komitmen dari KEADILAN bagi melawan isu perkauman dan adu domba agama yang selalu dimainkan.

“Kita yakin dengan dengan perlantikan ini beliau mampu menyampaikan mesej yang baik,” ujar Wan Azizah dalam sidang media ringkas itu.

Syed Ibrahim sebelum ini menjawat jawatan Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia selain dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 sejak Oktober lalu.

Turut diumumkan dalam sidang media itu adalah perlantikan Bregadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baru.

Merupakan bekas pegawai kanan angkatan tentera udara , Abdul Hadi sebelum ini dilantik sebagai pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN bersama beberapa pegawai kanan angkatan tentera antaranya Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama(B) Datuk Abdul Imran Abd Hamid.

Turut diumumkan adalah senarai 14 Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri termasuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, Datuk Fauzi Abd Rahman serta Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dilantik ke jawatan itu.

Tiada ulasan: