Selasa, 2 Disember 2014

Akta hasutan boleh disalahguna sekat demokrasi

HARAKAHDAILY


NATIONAL Oversight and Whistleblowers (NOW) melalui pengarahnya Akmal Nasir mendesak Dato’ Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia agar menunaikan janji pilihan rayanya yang mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948.

NOW berpendapat pengekalan akta tersebut sering disalah guna dan dijadikan alat oleh pihak pemerintah untuk menafikan hak demokrasi.

Berikut kenyataan NOW;

National Oversight and Whistleblowers (NOW) kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan Y.A.B. Dato’ Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang memungkir janji untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 seperti yang dilaporkan media. Malah, kenyataan beliau bahawa penggunaan Akta tersebut akan diperketatkan dan diperhebatkan bukan sahaja bakal menyekat kebebasan bersuara tetapi juga penyaluran dan penyebaran maklumat terutamanya berkenaan rasuah dan salah guna kuasa.

NOW bersependapat dengan pendirian Badan Peguam Malaysia (The Malaysian BAR) bahawa alasan penguatkuasaan Akta Hasutan demi menjaga keamanan dan keharmonian adalah tidak boleh digunapakai kerana Akta ini sering dijadikan alat untuk mengukuhkan kuasa pemerintah dengan menafikan hak demokrasi melalui penindasan dan kekerasan hukuman.

Tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengkritik atau menyuarakan pendapat atas alasan menghasut boleh disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa untuk menyekat rakyat daripada mempersoalkan isu-isu berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini akan menakutkan rakyat dan menghalang pemberi maklumat (whistleblowers) daripada tampil kehadapan untuk menyalurkan maklumat demi melindungi kepentingan awam dan kekayaan negara.

NOW juga amat khuatir bahawa Akta ini berkemungkinan akan terus digunakan untuk melindungi individu-individu berkepentingan politik yang disyaki terlibat dengan kes-kes rasuah dan sebagainya. Sedangkan mereka yang berani dedahkan fakta dan bukti penyelewengan kepada orang ramai bakal dihukum atas kesalahan menghasut.

Sejarah membuktikan bahawa pelaksanaan Akta Hasutan 1948 akan mendedahkan pemberi maklumat kepada penyalahgunaan tindakan undang-undang oleh kerajaan dan membantutkan usaha memerangi rasuah. Sebagai contoh, Yang Berhormat Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan telah disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 pada Julai 2014 selepas beliau mendedahkan surat Menteri kepada Bank Rakyat iaitu bukti dokumen utama yang menunjukkan campur tangan Menteri berkenaan dan salah guna kedudukan beliau dalam hal ehwal pentadbiran Bank Rakyat semata-mata untuk menyelamatkan seorang niagawan yang dilaporkan rapat dengan Perdana Menteri dan isterinya, iaitu Deepak Jaikishen.

Jika kerajaan benar-benar serius untuk membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran yang telus dan transparensi, kerajaan perlulah berani memberi ruang kepada rakyat untuk memberi pendapat bagi menilai kemajuan negara dan menyuarakan kritikan yang sewajarnya sekiranya berlaku penyelewengan atau ketirisan.

Oleh yang demikian, kami mendesak Perdana Menteri mempertahankan maruah dan janji beliau untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 seperti yang dijanjikan beliau 2 tahun lepas. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: