Selasa, 2 Disember 2014

ADUN mahu tambah peruntukan, MB kata 'tak'

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan Selangor setakat ini tidak bercadang untuk menaikkan jumlah peruntukan pejabat ADUN yang kini berjumlah RM10,000 sebulan, kata Menteri Besar Mohamed Azmin.

Katanya, selain ditetapkan dalam pekeliling perbendaharaan, ia juga diputuskan dalam mesyuarat exco pada September 2013 untuk pengurusan dan menyelaras gaji pembantu-pembantu ADUN.

"Perbelanjaan (pejabat DUN) tidak melebihi RM20,000. Oleh itu, kerajaan negeri tidak ada cadangan untuk menaikkan peruntukan pengurusan seperti yang dicadangkan," katanya.

ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata peruntukan kerajaan negeri itu sepatutnya sampai kepada kumpulan sasaran dan pengurusan efisien dapat mengurangkan kos operasi.

Azmin yang juga ADUN PKR Bukit Antarabangsa berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Noor Hanim Ismail (PAS-Seri Serdang) sama ada kerajaan negeri akan menaikkan peruntukan pejabat ADUN.

Gan Pei Nei (PKR-Rawang) pula mengemukakan soalan tambahan yang berkata jumlah itu tidak cukup untuk menggajikan pembantu ADUN berdasarkan kelulusan mereka.

Azmin bagaimanapun menjawab, kerajaan negeri tidak bercadang mengemukakan bajet tambahan bagi penggal ini.

"Tetapi ia boleh dikira dan dibajet untuk tahun hadapan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang mencadangkan mahu kerajaan menyemak jumlah RM10,000 yang ditetapkan itu, Azmin berkata:

"Soalan ini sering diberikan berulang kali, saya tidak berhasrat untuk meningkatkan peruntukan tersebut," katanya yang juga timbalan presiden PKR.

Tiada ulasan: