Khamis, 4 Disember 2014

30,000 rumah di Sabak Bernam putus bekalan air

MALAYSIAKINI



 
 
 
Sebanyak 30,098 rumah di Sabak Bernam, Selangor dijangka mengalami putus bekalan air atau tekanan air rendah tidak berjadual mulai semalam, berikutan penutupan sementara sebahagian Loji Rawatan Air Bernam River Headwork. 
 
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan semalam berkata kawasan terjejas ialah Sungai Besar, Pekan Sabak, Parit Baru, Sungai Air Tawar, Sungai Nibong, Pasir Panjang, Sungai Panjang, Sungai Haji Dorani, Sungai Lang dan Sepintas.
 
Penutupan sementara loji itu oleh Puncak Niaga Sdn Bhd disebabkan banjir yang berlaku di loji itu ekoran peningkatan mendadak aliran air Sungai Bernam selepas hujan lebat sejak semalam.
 
Loji rawatan tersebut akan beroperasi semula selepas kerja pembaikan selesai. 
 
Bagi membantu mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan terjejas, lori tangki dan tangki air statik SYABAS diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk pengagihan bekalan air kecemasan.
 
Pengguna boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air tersebut menerusi Pusat Panggilan Syabas  di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau aplikasi mudah alih 'mySYABAS'.- Bernama

Tiada ulasan: